Hajiji turut menyampaikan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada penerima dari kawasan Parlimen Papar, selain menyampaikan duit Hari Raya kepada golongan asnaf dan pesara tentera.
PAPAR: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Papar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang 2024 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat, kelmarin.
Ketibaan Hajiji disambut oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang, Dato Sri Gulam Haidar Khan Bahadar yang juga Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah.
Hajiji turut menyampaikan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada penerima dari kawasan Parlimen Papar, selain menyampaikan duit Hari Raya kepada golongan asnaf dan pesara tentera.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong dan tetamu lain.
Majlis Sambutan Aidilfitri itu dihadiri oleh lebih 12,000 orang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sejurus dari Papar, Hajiji menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif di Kampung Pimping Membakut.
Sementara itu, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut menghadiri majlis Aidilfitri mantan Pengerusi Tetap Parti WARISAN, Datuk Haji Karim Bujang di Putatan dan menyaksikan penyerahan 3,000 borang ahli baharu Gagasan Rakyat daripada pemimpin dan ahli WARISAN Bongawan dan Kimanis yang mengisytiharkan keluar parti itu.
Beliau turut menyerahkan surat pelantikan sebagai Ketua Pengarah Jentera Pilihan Raya dan Penasihat Gagasan Rakyat Bongawan kepada Karim.