Sabah akan buat tuntutan pemberian khas berfasa selepas Julai
15:04 Apr 22, 2024  |  By SabahKini2
Sabah akan buat tuntutan pemberian khas berfasa selepas Julai

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tindakan itu akan diambil selepas tamat tempoh rundingan yang ditetapkan selama setahun pada Julai tahun ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membuat tuntutan secara berfasa bagi pemberian khas tanpa perlu menunggu data lengkap daripada kerajaan Persekutuan.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tindakan itu akan diambil selepas tamat tempoh rundingan yang ditetapkan selama setahun pada Julai tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membuat kiraan sendiri jumlah yang perlu dituntut berdasarkan kepada data yang diumumkan oleh agensi kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, bagi memperoleh pemberian khas daripada kerajaan Persekutuan, kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan perlu mencapai kata sepakat dan persetujuan untuk mendapatkan data lengkap berhubung tuntutan berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya, sehingga kini kerajaan Persekutuan masih belum menyediakan data dan maklumat lengkap untuk Sabah membuat tuntutan berkenaan walaupun selepas lapan kali diminta oleh kerajaan negeri.

"Sampai sekarang tiada jawapan yang munasabah. Kita bersetuju dengan apa yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri II bahawa kita diberi satu tahun dari Julai tahun lepas untuk berunding.

"Kita ambil itu sebagai satu janji dan jika selepas Julai ini tiada persetujuan dicapai di antara kerajaan negeri dan Persekutuan, terserah kepada kita untuk melantik penaksir bebas.

"Sementara itu, kita juga menyatakan selepas Julai, kita akan buat tuntutan secara berfasa tanpa data-data yang lengkap daripada Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO-Lamag) mengenai tindakan yang perlu diambil kerajaan negeri untuk melantik penaksir bebas melalui platform Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya tiada persetujuan dicapai dari kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fatt berkata, kerajaan negeri berpegang teguh untuk mengekalkan formula asal pemberian khas seperti yang termaktub di Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan iaitu dua per lima atau 40 peratus daripada Hasil Bersih Persekutuan di Sabah.

Menurutnya, Semenjak rundingan ke atas amaun pemberian khas dimulakan, kerajaan Persekutuan membayar RM125.6 juta pada 2022 dan seterusnya RM300 juta pada 2023 yang mana kerajaan negeri bersetuju menerima bayaran itu sebagai penyelesaian secara 
interim.

"Saya yakin dan percaya rundingan kerajaan Persekutuan dan negeri akan membuahkan hasil yang kita nantikan sekian lama untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

"Bagaimanapun, apabila tempoh rundingan satu tahun ini tamat dan jika rundingan itu gagal mencapai sebarang persetujuan, maka kerajaan negeri mempunyai pilihan untuk melantik seorang penaksir bebas selaras dengan Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Bung Moktar mengenai hasrat kerajaan yang mencadangkan penaksir bebas dilantik menurut Perkara 112D Fasal 6 bagi menentukan jumlah wajar Pemberian Khas daripada kerajaan Persekutuan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan Jadual Kesepuluh Bahagian Empat Subseksyen 2(1).

Comment