Anak Tun Hanif nafi lokasi pengebumian diubah atas permintaan keluarga
09:04 Apr 23, 2024  |  By SabahKini2
Anak Tun Hanif nafi lokasi pengebumian diubah atas permintaan keluarga

Abdul Rahmat dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pertukaran lokasi pengebumian Allahyarham bukanlah permintaan dari pihaknya, sebaliknya perkara tersebut dimaklumkan oleh Imam Masjid Negara.

Anak kedua bekas Ketua Polis Negara, Kapten Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif menafikan lokasi pengebumian jenazah Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar diubah ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara atas permintaan keluarganya.

Abdul Rahmat dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pertukaran lokasi pengebumian Allahyarham bukanlah permintaan dari pihaknya, sebaliknya perkara tersebut dimaklumkan oleh Imam Masjid Negara. 

Beliau turut memperjelaskan situasi sebenar yang berlaku bagi mengelakkan perselisihan maklumat yang tidak benar.

“Pada jam 3.16 pagi, saya mengeluarkan kenyataan pertama memaklumkan pemergian Allahyarham. Menjelang jam 6.22 pagi, saya memaklumkan bahawa jenazah akan berada di rumah sehingga jam 10 pagi untuk membenarkan sanak-saudara dan rakan-taulan menziarah. 

“Kemudian, jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13, Shah Alam untuk urusan pemandian, pengkafanan dan sembahyang jenazah. Tiada maklumat pengebumian dapat diputuskan sehingga mendapat maklum balas Sekretariat PDRM dan Bahagian Kebajikan PDRM,” jelasnya. 

Tambah Abdul Rahmat, kira-kira jam 8.40 pagi beliau telah mengeluarkan maklumat terakhir berkaitan Allahyarham yang mengatakan jenazah akan dibawa ke Masjid PDRM Bukit Aman untuk penghormatan terakhir dan disembahyangkan sekali lagi sebelum dibawa ke Bukit Kiara.

“Lebih kurang jam 9.45 pagi, saya dimaklumkan oleh PDRM supaya mempertimbangkan untuk jenazah dibawa terus ke Masjid Negara untuk semua urusan sehingga pengebumian di Makam Pahlawan,” katanya.

Setelah berbincang dengan ibunya, beliau mengambil keputusan untuk bersetuju dengan pertimbangan oleh PDRM.

“Ini merupakan maklumat dan komunikasi terakhir mengenai pengurusan pengebumian jenazah Allahyarham sehinggalah pengumuman dibuat oleh Imam Masjid Negara memaklumkan bahawa jenazah akan dikebumikan di Bukit Kiara,” katanya lagi. 

Beliau sekali lagi menekankan tidak ada sebarang perbincangan dilakukan oleh pihak protokol dengan keluarga, lebih-lebih lagi beliau turut merupakan waris dan juga wakil keluarga.

“Kenyataan ini dibuat kerana terdapat khabar bahawa kami sekeluarga yang membuat permohonan pertukaran, dan juga terdapat pihak-pihak yang sudah mula membuat andaian berbaur politik yang tidak sihat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa jenazah Allahyarham Mohammed Hanif telah diubah ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara atas permintaan keluarga

 

1 Comment