Projek terbesar kilang klinker dan simen itu adalah usahasama antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Sri Alam Setia Sdn Bhd menubuhkan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd.
TONGOD: Letaknya di tengah-tengah bumi Sabah, daerah Tongod dijangka berubah wajah dengan keadaan ekonomi penduduknya bertambah baik tidak lama lagi.
Ini susulan pelaksanaan projek kilang klinker dan simen bersepadu bernilai RM1.2 bilion di Kampung Kawayoi Penangah, kira-kira 100km dari sini, yang dilancarkan pada Sabtu lepas.
Dikenali sebagai `The Heart of Sabah', Tongod merupakan daerah terbesar di Sabah dengan keluasan 3,550 batu persegi atau 9,194 km persegi.
Projek terbesar kilang klinker dan simen itu adalah usahasama antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Sri Alam Setia Sdn Bhd menubuhkan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd.
Memorandum perjanjian pelaksanaan projek itu sudah ditandatangani di antara Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd dan Sinoma Industrial Engineering (M) Sdn Bhd, pengeluar simen dan pemaju turnkey terbesar di dunia dan China.
Majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Kampung Kawayoi pada 27 April lepas. Ia dihadiri oleh beberapa menteri Kabinet, pembantu menteri, wakil-wakil rakyat serta kira-kira 3,000 penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, selaku tuan rumah menyambut dan meraikan para jemputan dan tetamu. Dalam ucapannya pada majlis itu, Hajiji menyatakan rasa optimis bahawa projek klinker dan simen itu bakal mengubah dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.
Selain membekalkan simen kepada kilang simen Industri Simen Sabah Sdn Bhd (CIS), projek itu juga bakal menyediakan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan.
“Ia juga adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah dan menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata projek berkenaan dilaksanakan di Penangah setelah mengambil kira ketersediaan sumber yang diperlukan untuk menghasilkan simen di kawasan berkenaan.
Seiring dengan pembinaan kilang simen itu, infrastruktur lain juga akan disediakan seperti jalan menuju ke tapak, loji rawatan air, elektrik dan telekomunikasi.
“Ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan luar bandar, khususnya penduduk di sekitar Tongod.
“Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membasmi miskin tegar di negeri ini," katanya, sambil menyatakan usaha itu sehingga kini berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar sebanyak 40 peratus.
Pada majlis sama, Hajiji turut menyampaikan 83 geran tanah, dengan jumlah keluasan 461.1 (186.06 hektar) kepada penerima dari Kampung Kuamut (27), Kampung Penangah (21), Kampung Entilibon (25) dan Kampung Mananam (10).