Buku 'Hanya Satu Hajiji, The One And Only' mula dipasarkan
15:05 May 08, 2024  |  By SabahKini2
Buku 'Hanya Satu Hajiji, The One And Only' mula dipasarkan

Ia adalah himpunan tulisan-tulisan terbaharu Lichong mengenai kepemimpinan Hajiji serta dasar dan hala tuju kerajaan negeri, termasuk berkaitan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

KOTA KINABALU: Sebuah buku kompilasi tulisan mengenai Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, sudah mulai memasuki pasaran sejak minggu lalu.

Buku setebal 200 halaman bertajuk 'Hanya Satu, Hajiji, The One And Only - Dari Kaca Mata Wartawan' itu dihasilkan oleh wartawan, Datuk Lichong Angkui.

Ia adalah himpunan tulisan-tulisan terbaharu Lichong mengenai kepemimpinan Hajiji serta dasar dan hala tuju kerajaan negeri, termasuk berkaitan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Lebih menarik, ia memuatkan komentar dan pandangan 10 figura besar kewartawanan Malaysia mengenai ketokohan dan kepemimpinan Hajiji.

Mereka terdiri daripada pemimpin organisasi media, presiden persatuan-persatuan wartawan, tokoh wartawan, wartawan veteran dan pensyarah komunikasi.

Hajiji turut mempromosikan buku itu sewaktu Majlis Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Media, di sebuah hotel di Kota Kinabalu kelmarin.

Sempena majlis itu, sejumlah wartawan yang memiliki buku berkenaan mendapatkan tandatangan daripada Hajiji dan Lichong.

Ketika ditemui kemudian, Lichong yang juga Ketua Pengarang Utusan Borneo berkata ini kali kedua Hajiji mempromosikan buku berkenaan selepas kali pertama dalam satu acara di Tongod, pada 27 April lepas.

Menurutnya, buku itu adalah kompilasi tulisan-tulisan beliau sepanjang enam bulan terakhir ini berkaitan kepemimpinan Hajiji dan kerajaan negeri.

Katanya, ia turut memuatkan sinopsis perjuangan politik Hajiji dan sedikit biografi ringkas Ketua Menteri.

Antara fokusnya termasuk `Menaiki tangga politik dari bawah' dan `Safari politik, Dari Sulaman ke Menara Kinabalu'.

"Saya berjaya mendapat komen dan pandangan daripada sejumlah wartawan tersohor.

"Ada yang menulis komen dalam Bahasa Melayu, ada yang dalam Bahasa Inggeris dan ada juga yang menulis dalam kedua-dua bahasa. Jadi, saya muatkan keseluruhan komen mereka itu tanpa mengubahnya sedikit pun," katanya.

Lichong yang juga Ahli Majlis Pentadbir Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) berkata, buku itu turut memuatkan tulisan berkaitan berbagai hal, sepanjang 40 tahun keterlibatan dalam dunia kewartawanan.

"Di bahagian penghujung buku ini saya imbas sedikit sejarah perjalanan karier kewartawanan yang bermula di Sabah, berbunga di Semenanjung dan kemudian kembali berpasak di negeri sendiri.

"Saya mendakap tiga era kewartawanan -- zaman konvensional yang serba-serbi tradisional, kemudian memasuki gerbang digital dan kini menuju era Revolusi Industri Keempat atau Indistri 4.0," katanya.

Menurutnya, judul buku itu dipilih bagi merangkumkan pengamatannya sebagai wartawan terhadap gaya dan kepimpinan Hajiji.

"Bagi saya, kepemimpinan Hajiji lain daripada yang lain -- karekternya tiada persamaan yang lain, perspektif pemikirannya luar biasa, beliau bekerja dalam diam, tidak mahu berkonfrantasi.

"Hanya satu Hajiji, the one and only. Ini sekadar pandangan saya. Mungkin berbeza dengan pandangan orang lain. Sebab itu saya letakkan tajuk kecil `Dari kaca mata wartawan'," katanya.

1 Comment