Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) Datuk Shahelmey Yahya berkata, Bagi Sabah FC, langkah berjaga-jaga diambil dan memastikan pemain semuanya selamat, agar sentiasa tenang dan fokus ketika harungi Liga Malaysia nanti.
KOTA KINABALU: Penyokong bola sepak serta netizen diminta untuk menghentikan sebarang spekulasi mengenai isu keselamatan dalam sukan itu dan mengambil tanggungjawab untuk memastikan bola sepak sentiasa menjadi sukan yang sihat buat rakyat di negara ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) Datuk Shahelmey Yahya berkata, sehubungan itu, penyokong serta netizen tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi tentang insiden melibatkan tiga pemain bola sepak baru-baru ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.
Timbalan Ketua Menteri III itu berkata spekulasi, malah lebih buruk provokasi dan penyebaran berita palsu, akan membuatkan isu itu semakin panas serta tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada sukan bola sepak tanah air.
"Kita di Sabah terkejut dan sedih dengan tiga insiden serangan itu yang tidak sepatutnya berlaku dan kita harap insiden ini tidak melarat ke tempat lain di negara ini serta segera dibendung. Saya berpesan kepada semua supaya memainkan peranan untuk pastikan suasana positif dalam arena bola sepak kita.
"Bagi Sabah FC pula, kita ambil langkah berjaga-jaga dan pastikan pemain kita semuanya selamat, agar mereka sentiasa tenang dan fokus ketika harungi Liga Malaysia nanti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jersi tuan rumah Sabah FC di sini semalam.
Sementara itu, Shahelmey berkata jersi tuan rumah Sabah untuk musim ini yang dinamakan 'Tagap' dalam bahasa Sabah atau dalam bahasa Melayunya 'Tegap' mengekalkan warga tradisi merah putih dan berharap jersi itu akan memberikan semangat untuk skuad Badak mengharungi musim ini.
Bagaimanapun, beliau meminta kepada semua penyokong Sabah supaya membeli jersi yang asli dan tidak membeli jersi atau barangan cetak rompak kerana perbuatan itu akan mendatangkan kerugian kewangan yang amat besar buat pasukan itu.
"Dengan membeli barangan asli, peminat bukan sahaja dapat barangan kualiti tinggi tetapi menyumbang kepada pasukan Sabah.
"Ada kedengaran beberapa kelab bola sepak di negara ini berdepan dengan situasi kewangan, jadi dengan membeli barangan asli, penyokong dapat bantu pasukan kesayangan," katanya.