Guna maklumat palsu buat kad pengenalan, wanita dipenjara tiga tahun
16:05 May 17, 2024  |  By SabahKini2
Guna maklumat palsu buat kad pengenalan, wanita dipenjara tiga tahun

Majistret Mahkamah Semporna, Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Sitti Jalminah Biddarin,56, selepas terbukti bersalah memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

SEMPORNA: Seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah memberikan memberi maklumat palsu untuk mendapatkan kad pengenalan menggunakan sijil lahir anaknya yang sudah meninggal dunia.

Majistret Mahkamah Semporna, Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Sitti Jalminah Biddarin,56, selepas terbukti bersalah memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdullah dalam pertuduhannya menegaskan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh amat serius dan boleh menganggu kedaulatan negara.

“Ini adalah kesalahan yang agak serius kerana cubaan memberi seorang warga asing mendapatkan kad pengenalan menggunakan sijil lahir.

“Hukuman maksimum perlu dikenakan bagi memberi pengajaran kepada orang ramai di luar agar tidak melakukan kesalahan seperti ini,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Pegawai Penguatkuasa JPN menahan dan menangkap tertuduh di JPN Daerah Semporna pada jam 2.35 petang 16 Mei lalu.

Tertuduh semasa memberikan keterangan didapati memberi maklumat palsu sebagai penganjur (penjamin) iaitu ibu semasa membuat permohonan kad pengenalan atas nama anaknya, di JPN Semporna, pada jam 11.23 pagi 15 Mei yang didapati bukan anak kandungnya. 

Hasil siasatan lanjut mendapati anak kandungnya yang sebenar sudah meninggal dunia semasa berumur kira-kira enam bulan dan kematian berkenaan tidak didaftarkan.

Tertuduh didapati melalukan kesalahan mengikut Undang-Undang Jabatan Pendaftaran Negara Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda RM 20,000 atau kedua-duanya sekali. 

Dalam perkembangan lain, seorang peniaga wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sandakan dengan dua pertuduhan memberikan maklumat palsu bagi mendaftarkan kad pengenalan dua lelaki yang juga jirannya tahun lepas.

Majistret Nur Faezah Jafry menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan kepada Ramla Lampeh, 49, bagi setiap pertuduhan bermula tarikh ditahan 10 Mei lepas dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

Nur Faezah juga menjatuhkan hukuman denda RM2,000 untuk pertuduhan pertama dan tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Ramla dalam dua pertuduhan itu didakwa memberikan maklumat palsu sebagai penganjur iaitu mengakui dirinya sebagai ‘ibu’ bagi mendaftarkan kad pengenalan, masing-masing atas nama Mohammad Firman Rahman, 22, dan Mohammad Luqman Rahman, 20.

Menurut fakta kes, tindakan itu dilakukan bagi melangsaikan hutang kepada peminjam wang dan Ramla didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sandakan, masing-masing pada 12.35 tengah hari dan 12.45 tengah hari, pada 15 Februari tahun lepas.

4 Comments