Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika mesyuarat pertama MTS hari ini berkata, usaha itu juga bagi mengatasi masalah kekurangan kuasa elektrik di negeri ini.
KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) meluluskan pelbagai inisiatif termasuk meneroka sumber baharu tenaga boleh diperbaharui bagi mencapai dan mengekalkan jidar simpanan penjanaan sebanyak 30 peratus.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika mesyuarat pertama MTS hari ini berkata, usaha itu juga bagi mengatasi masalah kekurangan kuasa elektrik di negeri ini.
Beliau turut bersetuju MTS menjalankan kajian kebolehlaksanaan sumber tenaga boleh baharu untuk Sabah seperti angin, geoterma dan projek janakuasa 'low head hydro submersible' untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu.
Katanya, kerajaan negeri komited untuk masa depan tenaga yang mampan di Sabah melalui Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada 19 September tahun lalu.
"SE-RAMP 2040 menggariskan pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi keperluan tenaga dan memastikan keselamatan tenaga, mampu milik, dan kelestarian alam sekitar.
"Mesyuarat MTS ini turut menumpukan kepada usaha menangani cabaran tenaga semasa di Sabah, termasuk kekurangan kapasiti dan kestabilan grid serta perancangan untuk memenuhi keperluan permintaan elektrik jangka masa sederhana dan panjang," katanya.
Beliau turut menyeru tindakan kolektif daripada semua pihak berkepentingan dalam memastikan kesemua pelan dan inisiatif berjaya dilaksanakan.
Hajiji berkata peranan MTS yang diluluskan jemaah menteri pada 6 Mac tahun ini adalah untuk memastikan keberkesanan strategi dan inisiatif SE-RAMP 2040.
Selain itu antara cadangan-cadangan lain daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) termasuk pelanjutan operasi loji janakuasa sedia ada yang berdaya harap, pembelian tenaga daripada loji janakuasa biomass, dan memastikan penyiapan projek Solar Berskala Besar (LSS).
ECoS turut mencadangkan untuk memperolehi kapasiti dari Sarawak, melaksanakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), tambahan loji janakuasa gas asli sebagai bahan api peralihan dan pengaktifan semula loji janakuasa Geoterma.
Penyiapan Pelan Pembangunan Hidroelektrik Sabah yang menjelang akhir tahun ini dijangka dapat menyokong inisiatif-inisiatif penjanaan kuasa di negeri ini.
Bagi jangka masa panjang, kerajaan negeri akan menerokai teknologi baharu seperti Reaktor Modular Kecil (SMRs) dengan kerjasama kerajaan Persekutuan dan Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) berikutan kelulusan Enakmen OTEC 2024 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Sementara itu, MTS mempunyai 11 ahli tetap iaitu Menteri Kerja Raya, Menteri Pembangunan Industri dan Usahawan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Kewangan, SUT Kementerian Kerja Raya, SUT Kementerian Pembangunan Industri dan Usahawan, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya, Pengerusi ECoS dan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, SMJ Energy Sdn Bhd dan Sabah Electricity Sdn Bhd masing-masing adalah ahli jemputan.
MTS ditubuhkan berikutan penyerahan kuasa kawal selia tenaga daripada kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan untuk menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah.