Kebakaran rumah setinggan disebabkan litr pintas, bukan disengajakan anggota operasi
16:06 Jun 11, 2024  |  By SabahKini2
Kebakaran rumah setinggan disebabkan litr pintas, bukan disengajakan anggota operasi

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kebakaran itu langsung tiada kena mengena dengan kawasan operasi bagi mencegah pendatang tanpa izin (PTI), dadah dan jenayah.

KOTA KINABALU: Kebakaran 26 rumah setinggan berhampiran Kampung Kalanansan, Inanam, di sini pagi Isnin dipercayai berpunca daripada litar pintas dan bukan sengaja dimulakan anggota operasi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kebakaran itu langsung tiada kena mengena dengan kawasan operasi bagi mencegah pendatang tanpa izin (PTI), dadah dan jenayah.

Katanya, kawasan operasi itu dijalankan lebih 50 meter dari lokasi kebakaran.

“Sebenarnya kawasan kebakaran ini bukanlah kawasan operasi kita. Malah anggota polis masuk dari belakang, tidak terbabit langsung dengan kawasan sini.

“Video yang ditularkan adalah tidak benar sama sekali yang mengatakan pihak polis memulakan kebakaran ini adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kasim berkata, beliau sendiri berjumpa dengan penduduk bagi menerangkan kepada mereka bahawa polis bukan datang untuk membakar rumah mereka.

“Sebaik menyedari kejadian, pihak polis juga yang memanggil pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan untuk mengelak api terus merebak.

“Memang tidak logik kita hendak membakar kawasan ini, bukan pihak berkuasa sahaja malah kerajaan negeri juga tidak sekejam mana untuk membakar rumah-rumah ini.

“Tidak pernah dalam sejarah berlaku yang kita membakar rumah yang dimiliki sama ada bukan warga tempatan atau tempatan berada di negara ini,” katanya.

Sementara itu, berhubung punca kebakaran, Kasim berkata, polis masih menunggu laporan forensik daripada pihak bomba.

Beliau bagaimanapun berkata, kemungkinan besar kebakaran itu dipercayai disebabkan oleh litar pintas selepas berlakunya penyambungan tidak sah di kawasan berkenaan.

“Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) juga sudah memotong tiga sambungan haram bagi mencegah kebakaran merebak,” katanya. 

24 Comments