Menterinya Armizan Mohd Ali dalam kenyataan berkata notis bertulis kepada 10 syarikat itu dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memanggil 10 syarikat yang mengumumkan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini.
Menterinya Armizan Mohd Ali dalam kenyataan berkata notis bertulis kepada 10 syarikat itu dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Katanya, 10 syarikat itu terdiri daripada tiga syarikat pengangkutan, tiga syarikat bahan binaan, dua syarikat makanan dan minuman serta dua perusahaan sewaan jentera.
“Syarikat yang dikenalpasti ini diminta untuk memberi penjelasan berkaitan kewajaran untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan,” katanya.
Armizan berkata, dua syarikat sudah dipanggil semalam untuk memberi penjelasan dan selebihnya akan hadir mengikut jadual.
“Melalui siasatan awal, empat syarikat terlibat diluluskan permohonan kad fleet tetapi mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.
“Manakala baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0,” katanya.
Katanya, setiap syarikat diminta memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.
“Kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Armizan juga menyeru peniaga tidak menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan.
“Mana-mana pihak didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh kementerian terutamanya mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.
“Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 bagi perbadanan/syarikat, manakala sehingga RM100,000 bagi individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Syarikat penunda kenderaan dan pengeluar konkrit bertindak menaikkan harga perkhidmatan susulan peningkatan harga diesel.
Sekurang-kurangnya dua pengeluar konkrit, DPG Readymix Sdn Bhd dan LCS Marketing Sdn Bhd, mengesahkan bahawa pihak syarikat meningkatkan harga selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.