Jalan Telipok-Kiulu-Randagong bakal bawa perubahan Sabah - Musa
16:03 Mar 22, 2018  |  By SabahKini2
Jalan Telipok-Kiulu-Randagong bakal bawa perubahan Sabah - Musa

Projek pembinaan jalan raya sepanjang 60 kilometer itu, yang melibatkan kos RM288 juta, dijangka siap pada penghujung Mac tahun depan. Setakat ini, projek itu sudah 65 peratus siap dengan mendahului jadual sebanyak 20 peratus.

TUARAN, 22 Mac - Projek pembinaan Jalan Telipok-Kiulu-Randagong bakal menjadi pencetus perubahan Sabah terutama dalam aspek kemajuan luar bandar termasuk menggalakkan pembangunan produk pelancongan di kawasan berkenaan, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata projek pembinaan jalan raya itu juga memudahkan perhubungan penduduk setempat dari satu kawasan ke kawasan lain termasuk memudahkan mereka mengeluarkan hasil pertanian dengan lebih cepat serta meningkatkan nilai harga tanah di situ.



"Ini bukan sekadar membina dan menaik taraf jalan raya yang ada tetapi ia boleh menjadi pemangkin pembangunan ekonomi sesuai dengan era kemajuan yang sedang berlaku di kawasan ini," katanya berucap pada majlis tinjauan projek pembinaan jalan berkenaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Pukak, Kiulu dekat sini, hari ini.

Turut  hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga anggota Parlimen Tuaran, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman Datuk Hajiji Noor dan ADUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.

Projek pembinaan jalan raya sepanjang 60 kilometer itu, yang melibatkan kos RM288 juta, dijangka siap pada penghujung Mac tahun depan. Setakat ini, projek itu sudah 65 peratus siap dengan mendahului jadual sebanyak 20 peratus.

Musa berkata Sabah menikmati pelbagai bentuk pembangunan hasil daripada perhatian dan keprihatinan Najib terhadap keperluan rakyat di negeri itu menerusi penyaluran peruntukan berbilion ringgit demi memastikan aspirasi rakyat dipenuhi.

"Kita cakap ada fakta dan bukti. Bukan sahaja projek pembinaan jalan ini, tetapi perdana menteri turut memberi peruntukan pembangunan luar bandar seperti bekalan elektrik selain pembinaan PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), pembinaan sekolah daif dan Lebuhraya Pan Borneo.

"Inilah perdana menteri yang banyak kali datang ke Sabah... Inilah perdana menteri yang banyak memberi bantuan kepada Sabah," katanya.

Sehubungan itu, Musa mengingatkan rakyat Sabah khususnya di Kiulu supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab yang memperkecil dan meremehkan usaha serta sumbangan kerajaan dalam membantu rakyat di negeri ini.

Musa juga berkata ia merupakan hari bersejarah bagi Kiulu kerana beliau adalah perdana menteri pertama menjejakkan kaki ke kawasan itu, yang terletak kira-kira 55 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu.

"Sudah tentu kehadiran perdana menteri ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam sejarah Kampung Pukak, tetapi juga mengesahkan bahawa Kiulu, Tamparuli, Tuaran mendapat tempat di hati perdana menteri," katanya.

-- BERNAMA

1 Comment