Sebilangan pengguna di kawasan Kingfisher, Sulaman Central, Hospital Likas, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa kawasan sekitar utara Kota Kinabalu membuat aduan berkenaan perkara ini sejak pagi Rabu.
KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menyiasat punca kekeruhan air yang diterima pengguna di beberapa kawasan sekitar utara bandar raya Kota Kinabalu.
Sebilangan pengguna di kawasan Kingfisher, Sulaman Central, Hospital Likas, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beberapa kawasan sekitar utara Kota Kinabalu membuat aduan berkenaan perkara ini sejak pagi Rabu.
Selain keruh, air paip yang diterima pengguna juga didakwa berbau.
Berdasarkan maklumat dikongsi pihak JANS di laman Facebook jabatan itu, pasukan teknikal JANS digerakkan sebaik menerima aduan berkenaan bagi mencari punca dan mengatasi masalah berkenaan.
“Selepas menerima aduan, Team Teknikal JANS digerakkan untuk menyiasat kejadian terbabit dan menjalankan pemeriksaan bermula dari loji rawatan air, saluran paip utama, tangki takungan, paip retikulasi hingga ke meter pengguna.
“Hasil penyiasatan mendapati pengeluaran air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 masih pada tahap normal dan mematuhi piawaian kualiti air yang ditetapkan,” katanya.
Difahamkan, air didapati keruh ketika pemeriksaan di tangki takungan, namun belum dapat dikenal pasti punca sebenar kejadian itu.
JANS memaklumkan kerja ‘flushing’ atau membuang air keruh dari saluran paip di kawasan yang terjejas kemudiannya dilaksanakan bagi memastikan kualiti air yang bersih dan selamat kepada pengguna.
“Siasatan dan pemeriksaan masih diteruskan oleh Team Teknikal JANS bagi mengesan punca sebenar di samping mengelakkan kejadian air keruh ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.