Dua tahanan KPDN larikan diri diberkas semula selepas 3 jam
17:06 Jun 28, 2024  |  By SabahKini2
Dua tahanan KPDN larikan diri diberkas semula selepas 3 jam

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya membuat tindakan awal dengan melancarkan Op Tutup dan Op Kesan membabitkan semua elemen yang berada di barisan hadapan.

SEMPORNA: Dua tahanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melarikan daripada pejabat KPDN Semporna, di sini, berjaya ditahan semula selepas bebas kira-kira tiga jam.

Kedua-dua suspek berusia 45 dan 30 diberkas sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, di dua lokasi berasingan di daerah ini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.07 petang mengenai dua tahanan KPDN Semporna melarikan diri dari pejabat berkenaan.

Susulan itu, Mohd Farhan Lee berkata, pihaknya membuat tindakan awal dengan melancarkan Op Tutup dan Op Kesan membabitkan semua elemen yang berada di barisan hadapan.

“Bertindak atas maklumat orang awam menyatakan bahawa tahanan yang melarikan diri berada di kawasan semak berhampiran Dewan Masyarakat, Semporna.

“Sepasukan pegawai dan anggota terus membuat pemeriksaan di kawasan semak dan menemukan suspek pertama iaitu lelaki warga asing dalam keadaan terbaring dan sedang tidur serta tangan kanan masih bergari," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, ketika tangkapan itu dilakukan, suspek bertindak agresif dan cuba untuk melarikan diri tetapi gagal.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kawasan sekitar turut menemukan sehelai seluar lokap polis warna ungu yang dipakai suspek semasa melarikan diri.

“Pada hari yang sama, jam kira-kira jam 4 petang, atas maklumat orang awam, pasukan operasi telah pergi ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Mesra Sri Jaya.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, telah menemukan suspek kedua warga tempatan dan turut merampas sehelai seluar lokap warga ungu daripada suspek,” katanya.

Mohd Farhan berkata, pemeriksaan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat berkenaan tahanan yang melarikan diri sehingga tertangkap semua suspek dalam masa lebih kurang tiga jam.

“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Adham Ramli di talian 011-10145004 atau 089-782020,” katanya.

1 Comment