Tinjauan mendapati kerja menggantikan lantai jambatan itu yang dihanyutkan banjir tiga hari lalu giat dijalankan dengan peralatan baharu untuk tujuan itu sudah tersedia di lokasi.
TAMPARULI: Kesulitan dihadapi lebih 1,000 penduduk dari tujuh kampung di daerah ini yang terputus hubungan selepas jambatan bailey menyeberang Sungai Bawang musnah dalam banjir akan berakhir apabila kerja baik pulih kemudahan itu dalam minggu ini.
Tinjauan mendapati kerja menggantikan lantai jambatan itu yang dihanyutkan banjir tiga hari lalu giat dijalankan dengan peralatan baharu untuk tujuan itu sudah tersedia di lokasi.
Jambatan bailey berusia lebih tiga dekad itu menjadi kemudahan penting penduduk Kampung Bawang, Kiwoi,Togop, Lingga, Bambangan Lama, Namadan dan Rangalau Lama.
Turut menggunakan kemudahan itu ialah tenaga pengajar serta murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, SK Togop, SK Lingga dan SK Rangalau Lama.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, kontraktor yang ditugaskan melakukan kerja mengganti lantai jambatan bailey dihanyutkan banjir menjangkakan kemudahan itu kembali boleh digunakan dalam tempoh seminggu.
Beliau berkata, pembaikan jambatan itu perlu disiapkan segera kerana keperluan yang tinggi kemudahan itu kepada lebih 1,000 penduduk kampung terbabit.
"Saya sedar kesulitan dihadapi penduduk sejak kemudahan itu rosak oleh banjir tiga hari lalu, menyebabkan mereka sukar keluar masuk untuk ke pekan dan sebaliknya," katanya.
Sehubungan itu, Jahid berharap dengan kerja keras pihak kontraktor dapat memastikan kemudahan itu pulih dalam kadar segera.
Difahamkan, penduduk tujuh kampung terbabit menghadapi kesukaran keluar masuk termasuk untuk ke pekan sejak jambatan itu rosak.
Lebih menyulitkan ada di kalangan penduduk terutama warga emas yang mempunyai jadual temujanji doktor di hospital kerajaan sukar meneruskan perjalanan sejak kemudahan itu musnah.
Ketika kejadian, jambatan itu sedang dalam kerja naik taraf sejak Mac lalu dan dijadualkan siap September 2025.
Kejadian itu memaksa penduduk bertindak terpaksa bergadai nyawa menggunakan rangka jambatan bailey itu untuk pekan dan memenuhi temujanji doktor di hospital kerajaan.