Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata, bagi tempoh sama, pihaknya juga sudah mengedarkan 3,452 notis perobohan di kawasan setinggan yang sudah dikenal pasti di negeri ini.
KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah merobohkan 1,332 rumah koloni setinggan yang dibina di tanah milik kerajaan negeri di seluruh Sabah sehingga semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata, bagi tempoh sama, pihaknya juga sudah mengedarkan 3,452 notis perobohan di kawasan setinggan yang sudah dikenal pasti di negeri ini.
“Buat masa ini terdapat 63 peratus rumah koloni setinggan yang belum dirobohkan dan sekiranya operasi perobohan dilaksanakan di semua kawasan yang dikenal pasti akan mencatat lebih 3,500 rumah koloni setinggan bakal diroboh sehingga penghujung Julai atau Ogos.
“Lima daerah termasuk Keningau, Sipitang, Beluran, Papar dan Tenom sedang dalam proses mengedarkan notis dan operasi perobohan akan dilaksanakan sebaik fasa ini diselesaikan.
“Kita akan melaksanakan operasi perobohan sehingga benar-benar mencapai matlamat membasmi koloni setinggan di Sabah,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini.
Jauteh berkata, operasi merobohkan struktur rumah di kawasan koloni setinggan dijalankan mengikut prosedur serta undang-undang yang mana notis perobohan akan diberikan kepada penghuni terlebih dahulu.
“Notis pertama diberi dalam tempoh 14 hari sebelum pihak polis akan memberikan notis kedua untuk tempoh dua minggu lagi bagi membolehkan penghuni bersedia dan berpindah sebelum tindakan merobohkan struktur rumah di kawasan ini dijalankan.
“Setakat ini Kota Kinabalu mencatatkan jumlah paling banyak struktur dirobohkan iaitu 200 buah diikuti 160 rumah koloni setinggan di Kota Marudu manakala 138 di Semporna,” katanya.
Jauteh berkata, operasi merobohkan struktur rumah di kawasan koloni setinggan ini memberi manfaat dan menyelesaikan pelbagai isu.
“Operasi ini dapat menyelesaikan isu pencerobohan di kawasan tanah milik kerajaan ataupun persendirian dan mengurangkan kadar jenayah di kawasan ini berikutan isu jenayah dikesan berlaku pada kadar yang tinggi di kawasan setinggan.
“Kita juga dapat mengurangkan kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan ini seterusnya membasmi kawasan persembunyian penjenayah terutama jenayah rentas sempadan bagi koloni setinggan di kawasan perairan negara.
“Pada masa sama, kita juga akan menyelesaikan masalah kecurian bekalan air dan elektrik yang banyak dikesan di kawasan setinggan selain memastikan kebersihan di Sabah sentiasa terjamin kerana sampah sarap yang dibuang merata-rata selalunya dikesan do kawasan koloni setinggan,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis akan memastikan isu mendirikan semula struktur haram ini di kawasan operasi tidak akan berlaku berikutan pihaknya menasihatkan agensi atau pemilik tanah meletakkan notis atau penghadang bagi memastikan kawasan terbabit tidak akan diceroboh semula.
Pada masa sama katanya, pihak polis akan memantau keselamatan di kawasan terbabit dan mana-mana pihak yang melakukan pencerobohan akan dikenakan tindakan tegas termasuk undang-undang sedia akan berkenaan pencerobohan.