Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat dan aduan awam mengenai gangguan yang dilakukan oleh penagih di kawasan terbabit.
TAWAU: Tokan antara empat individu yang ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerusi Op Tapis di sekitar daerah ini.
Operasi yang dijalankan selama tiga hari itu tertumpu di kawasan hotspot termasuk perkampungan atas air yang telah dikenal pasti menjadi sarang penagih.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat dan aduan awam mengenai gangguan yang dilakukan oleh penagih di kawasan terbabit.
Katanya, empat penagih termasuk seorang lelaki disyaki tokan dadah berjaya diberkas dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, serbuan pertama berjaya memberkas seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun bersama dadah jenis syabu seberat 0.21 gram di sebuah rumah di Jalan Kuhara, kira-kira jam 1.17 petang, Sabtu lalu.
“Serbuan kedua pula pada Ahad lalu berjaya memberkas dua lagi suspek lelaki warga tempatan berusia 49 dan 50 tahun di Kampung Tanjung Batu Laut dan Kampung Vietnam.
“Hasil operasi itu juga, polis merampas dadah jenis syabu seberat 0.46 gram,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, polis turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun dipercayai tokan dadah bersama 12.92 gram syabu, di kawasan Kampung Titingan, semalam.
Jasmin berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis syabu dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.