PRU14, Zahid beri bayangan 'Tiga Singa' Kota Belud
12:03 Mar 24, 2018  |  By SabahKini2
PRU14, Zahid beri bayangan 'Tiga Singa' Kota Belud

Landskap politik di Kota Belud ini akan berubah kerana kita ada tiga singa Kota Belud. Salah satu singa akan menjadi singa di tempat lain dan singa itu akan membawa perubahan yang banyak. Oleh kerana hanya tinggal dua singa, satu singa akan terus tinggal

KOTA BELUD, 23 Mac- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa penyandang kerusi Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kemungkinan akan bertanding di kawasan lain pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Walaupun tidak menyebut nama calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kawasan mana, sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri lebih gemar berkias dengan menggelarkan tiga pemimpin negara kini datang dari Kota Belud sebagai 'Tiga Singa'.

Namun mesej yang ingin disampaikan oleh Timbalan Presiden UMNO itu pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kota Belud di Kampung Kesapang di sini hari ini mudah dihidu dan difahami oleh mereka yang mengikuti perkembangan politik Kota Belud.

"Kita akan lihat landskap politik di Kota Belud ini akan berubah kerana kita ada tiga singa Kota Belud. Salah satu singa akan menjadi singa di tempat lain dan singa itu akan membawa perubahan yang banyak. Oleh kerana hanya tinggal dua singa, satu singa akan terus tinggal bersama Datuk Seri Najib Tun Razak dan satu singa lagi akan terus berada di Dewan Rakyat," katanya.

Turut hadir Ketua Menteri,Tan Sri Musa Aman, Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Menurut Ahmad Zahid, Abdul Rahman telah banyak membawa pembangunan kepada kawasan Kota Belud sejak menjadi Anggota Parlimen kawasan itu selama dua penggal.

"Singa (Abdul Rahman) yang akan meninggalkan kita (Kota Belud), saya telah lihat prestasinya. Berapa banyak peruntukan yang telah dibawanya (ke Kota Belud).

"Selama dua penggal dia menjadi Anggota Parlimen di sini (Kota Belud), beliau telah membawa peruntukan tidak kurang daripada RM987 juta. Tetapi beliau tidak akan meninggalkan legasinya di sini lagi," katanya.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk projek tebatan banjir, RM5 juta untuk projek mendalamkan Sungai Kadamaian di Kampung Tambotuon serta meluluskan peruntukan untuk pembinaan masjid daerah baharu untuk Kota Belud.

Dalam pada itu, Salleh merupakan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud yang kini penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan dan memegang jawatan sebagai Menteri selepas dilantik menjadi Senator pada Julai 2015.

Beliau yang juga Bendahari UMNO pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama tiga penggal dari 1995 sebelum tempatnya digantikan Abdul Rahman pada tahun 2008.

--BERNAMA 

2 Comments