Sabah rekod 99.99 peratus calon STPM 2023 layak dapat sijil
20:07 Jul 23, 2024  |  By SabahKini2
Sabah rekod 99.99 peratus calon STPM 2023 layak dapat sijil

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Nurani Fauziah Derin berkata, hanya satu calon sahaja iaitu 00.01 peratus tidak layak mendapat sijil STPM.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 99.99 peratus atau 7,981 daripada 7,982 jumlah calon layak dianugerahkan sijil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Nurani Fauziah Derin berkata, hanya satu calon sahaja iaitu 00.01 peratus tidak layak mendapat sijil STPM memandangkan syarat layak mesti memperoleh sekurang-kurangnya lulus satu mata pelajaran.

Menurutnya, seramai 130 calon STPM 2023 atau 1.56 peratus berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dengan peningkatan seramai 55 calon berbanding 75 calon yang memperoleh PNGK 4.00 pada 2022.

Katanya,seramai 459 calon berjaya memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas  atau 5.5 peratus, manakala seramai 2,705 calon atau 32.6 peratus memperoleh PNGK 3.00.

Beliau berkata, daripada 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini, sebanyak lapan PPD menunjukkan pencapaian melepasi PNGK Kebangsaan 2.84 dan 13 PPD meraih pencapaian melepasi PNGK Negeri 2.76.

"Bilangan calon yang mendapat 5A dalam lima mata pelajaran meningkat kepada tujuh calon berbanding tiga calon pada STPM 2022.

"Jumlah calon yang mendapat 4A dalam peperiksaan STPM 2023 turut meningkat daripada 72 calon bagi STPM 2022 kepada 123 calon bagi STPM 2023.

"Seramai 97 calon daripada 123 calon yang mendapat 4A adalah dalam kalangan calon kategori B40," katanya yang mewakili Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin pada majlis Pengumuman Keputusan STPM 2023 di sini hari ini.

Menurutnya, peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima mata pelajaran trut meningkat 0.21 peratus iaitu sebanyak 4.84 peratus berbanding 4.63 peratus pada STPM 2022.

Selain itu jelasnya, jumlah calon yang mendapat lulus penuh empat mata pelajaran juga meningkat sebanyak 1.62 peratus iaitu daripada 68.59 peratus pada 2022 kepada 70.21 peratus bagi STPM 2023.

Dalam pada itu katanya, secara keseluruhan sebanyak 22 mata pelajaran mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus iaitu gred C dan ke atas.

"Dalam STPM 2023, sebanyak enam mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding prestasi tahun sebelumnya.

"Ia termasuklah mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Arab, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Usuluddin, Matematik (T), dan Biologi.

"Empat mata pelajaran iaitu Tahfiz Al-Quran, Pengajian Perniagaan, Fizik dan Sains Sukan menunjukkan penurunan melebihi negatif tiga peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding STPM 2022," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 12 mata pelajaran STPM lain tidak berubah prestasi kerana beza peratusan calon yang lulus penuh antara 2023 dengan 2022 adalah kurang tiga peratus.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam Peto Galim.

Comment