SEC lancar program tangani masalah pengangguran grduan di Sabah
15:07 Jul 24, 2024  |  By SabahKini2
SEC lancar program tangani masalah pengangguran grduan di Sabah

Ketua Sumber Manusia & Pentadbiran SEC, Dayang Kamariah Datu Bistari berkata, program itu menawarkan latihan praktikal dan peluang peningkatan kemahiran di SEC.

KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation (SEC) melancarkan Program Skill Enhancement & Career Advancement (SECA) bagi membantu menangani masalah pengangguran dalam kalangan graduan di sini.

Ketua Sumber Manusia & Pentadbiran SEC, Dayang Kamariah Datu Bistari berkata, program itu menawarkan latihan praktikal dan peluang peningkatan kemahiran di SEC.

Katanya, program julung kali ini akan memilih dan melatih sepuluh graduan yang masih belum memperoleh pekerjaan selama enam bulan.

“Melalui kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Latihan Perindustrian Labuan (ILP Labuan), lima graduan cemerlang dari setiap institusi telah dipilih menyertai program ini.

“Kriteria pemilihan tertumpu kepada calon dari keluarga kurang berkemampuan termasuk kumpulan B40 dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 dan ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis ringkas yang diadakan di UMS, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Sidah Idris.

Menurutnya, program SECA selama enam bulan ini menawarkan elaun bulanan yang kompetitif untuk memastikan kestabilan kewangan sepanjang tempoh latihan.

Katanya, para peserta akan menerima latihan industri secara langsung di SEC, dengan fokus pada kecekapan teknikal, pembangunan kemahiran praktikal, dan peningkatan kemahiran insaniah.

“Penilaian berkala akan dijalankan bagi memantau kemajuan dan memastikan penambahbaikan program, dan peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang juga berpeluang untuk diserap masuk ke dalam SEC.

“Inisiatif SECA SEC ini adalah selari dengan usaha kerajaan negeri dalam memerangi kemiskinan tegar dengan memajukan pembangunan modal insan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang bermakna.

“Ia juga adalah tanda komitmen SEC terhadap usaha pemantapan komuniti dan pembangunan ekonomi, demi masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Comment