Kerajaan Persekutuan jamin PRR mampu dilaksana di Sabah
17:07 Jul 25, 2024  |  By SabahKini2
Kerajaan Persekutuan jamin PRR mampu dilaksana di Sabah

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, melalui dasar baharu kementeriannya serta kerjasama erat dengan kerajaan negeri, beliau yakin projek PRR akan dapat dilaksanakan di Sabah.

PUTATAN: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan Sabah tidak akan dipinggirkan sebagai negeri yang akan menerima manfaat Program Residensi Rakyat (PRR) iaitu projek perumahan yang dinaik taraf menggantikan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, melalui dasar baharu kementeriannya serta kerjasama erat dengan kerajaan negeri, beliau yakin projek PRR akan dapat dilaksanakan di Sabah.

Menurutnya, kementerian juga sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri untuk memuktamadkan perkara itu.

"Jika kerajaan negeri menyerahkan tanah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menghantar pasukan teknikal untuk menjalankan pemeriksaan tapak sama ada sesuai atau tidak kerana kita mahu membina PRR yang berkualiti tinggi.

"Kita mahu bina perumahan bersepadu dengan pelbagai kemudahan yang ada kerana dasar baharu kementerian tidak lagi membina satu blok rumah.

"Sekarang ini dengan dasar baharu saya sangat yakin kita akan bekerjasama erat dengan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Penyerahan Tamu Putatan kepada Majlis Daerah Putatan (MDPTN) di sini hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PRR kini dalam proses untuk mendapat keputusan jemaah menteri dalam masa terdekat dan ia dijangka dilancarkan awal tahun depan.

Dalam pada itu Nga berkata, permintaan rumah di Sabah khususnya PPR sentiasa mendapat perhatian pihak KPKT.

Katanya, ia terbukti memandangkan Sabah antara negeri yang mempunyai jumlah PPR paling banyak di seluruh negara.

"Setakat ini, kita membina sebanyak 38 PPR di Sabah dan ini adalah jumlah yang tertinggi berbanding negeri lain.

"Sudah tentu mengikut perancangan yang kita ada, pemantauan akan terus dijalankan mengikut keperluan rakyat. Justeru, kita amat perlukan bantuan kerajaan negeri.

"Dasar KPKT sangat jelas, bagi kerajaan negeri yang sudi menyerahkan tanah kepada KPKT, mereka akan diberi keutamaan untuk membina PPR," katanya.

Beliau berkata, kerjasama di antara kerajaan negeri dengan Persekutuan sangat penting dan Sabah juga negeri yang memiliki banyak tanah.

Menurutnya, setakat ini, kerajaan negeri lain sudah menyerahkan sebanyak 32 kawasan tanah kepada KPKT untuk dikaji sama ada sesuai atau tidak untuk dibina PPR.

"Saya akan berjumpa dengan Ketua Menteri dan minta kerajaan negeri menyerahkan tanah secepat mungkin.

"Jika tidak, peruntukan yang kita ada terpaksa digunakan untuk membeli tanah. Lepas beli tanah, tiada lagi duit untuk membina PRR yang berkualiti tinggi.

"Justeru, kalau kita dapat tanah...maka semua peruntukan 100 peratus boleh digunakan untuk dimanfaatkan membina rumah yang berkualiti untuk rakyat," jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan KPKT Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Pegawai Daerah Putatan Masawi Salleh.

Comment