Kastam Sabah rekod nilai rampasan cecah RM348 juta
16:07 Jul 26, 2024  |  By SabahKini2
Kastam Sabah rekod nilai rampasan cecah RM348 juta

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, jumlah itu meningkat dari segi nilai namun bilangan kes menurun berbanding tempoh sama tahun lalu.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merekodkan jumlah rampasan RM348 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, jumlah itu meningkat dari segi nilai namun bilangan kes menurun berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, dari segi volume meningkatkan kerana membabitkan rampasan yang besar, manakala dari segi bilangan kes adalah menurun.

"Secara keseluruhan untuk tempoh enam bulan ini kita dapat kes rampasan berjumlah RM348 juta termasuk membabitkan rampasan utama iaitu dadah, rokok dan minuman keras," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta Toh Puan Norlidah RM Jasni di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Khamis.

Katanya lagi, dalam konteks kastam memerangi penyeludupan ia fokus kepada tiga komoditi utama iaitu rokok, minuman keras dan dadah tetapi Sabah turut berdepan dengan komoditi lain seperti ayam import.

"Cuma di Sabah ini, berdasarkan pencapaian serta rekod barangan sejuk beku seperti ayam menjadi komoditi yang besar dalam tangkapan dan rampasan. 

"Ia adalah barangan import dari luar negara yang masuk ke Sabah melalui Pelabuhan Sepanggar untuk pengguna dalam negeri ini," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, keadaan kini terkawal dan kes berkurangan dan pihaknya akan terus meningkatkan langkah kawalan di pelabuhan menerusi kaedah pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas yang dilengkapi Artificial Intelligence (AI).

Selain itu katanya, menguatkuasakan arahan kepada agen penghantaran untuk membuat pengikraran lengkap dan teratur supaua JKDM dapat mengenal pasti secara terus barangan yang diikrarkan.

Dalam pada itu juga, Mohd Nasir berkata, sebagai 'check and balance ' pihaknya mengadakan operasi payung di luar pelabuahn sebagai second check.

"Langkah ini bertujuan untuk memastikan keadaan benar-benar dapat meningkatkan kepatuhan pihak pengimport di pelabuhan utama Sabah iaitu Sepanggar, Tawau dan Sandakan," katanya.

Sementara itu, mengenai kunjungan itu, beliau memaklumkan bahawa kunjungan berkenaan bertujuan untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada Tun Juhar mengenai persaraannya hari ini.

Disamping itu, merakamkan penghargaan serta terima kasih atas hubungan baik antara pihak Istana dengan JKDM Zon Sabah. 

2 Comments