Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah disambut meriah
17:07 Jul 31, 2024  |  By SabahKini2
Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah disambut meriah

Sambutan yang diadakan setiap 31 Julai itu dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang tiba tiba kira-kira jam 7.48 pagi sebelum menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah disambut meriah dan penuh emosi dengan persembahan yang mengenang kembali peristiwa berdarah di Kampung Simunul.

Sambutan yang diadakan setiap 31 Julai itu dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang tiba tiba kira-kira jam 7.48 pagi sebelum menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah diiringi Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin yang tiba pada jam 8.00 pagi kemudian turut menerima Tabik Hormat DiRaja daripada Kawalan Kehormatan PDRM (Pecah Bendera) dan memeriksa kawalan kehormatan.

Sambutan dimulakan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, Bendera Sabah serta lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dan Tiupan Paluan Akhir “The Last Post” oleh PDRM.

Tetamu dan hadirin juga bertafakur selama 30 saat untuk mengenang wira negara yang terkorban sebelum diikuti persembahan Pancaragam Gabungan PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Kemuncak sambutan Hari Pahlawan diisi dengan persembahan pengorbanan pejuang negara seiring dengan objektifnya dalam mengenang jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Persembahan khas penuh emosi ini dilaksana Pasukan Gerakan Am (PGA) tentang tragedi berdarah dalam menumpaskan musuh di Kampung peristiwa berdarah di Kampung Simunul, Semporna pada 2 Mac 2013.

Persembahan itu menceritakan bagaimana kemasukan penceroboh pengganas bersenjata Sulu yang juga Tentera Sultan Sulu (RSF) masuk ke dalam negara secara berperingkat.

Pertempuran menentang kumpulan RSF mengorbankan enam pegawai serta anggota polis yang diperlakukan dengan kejam selepas diserang hendap di kawasan perkampungan atas air itu semasa menjalankan siasatan mengenai kehadiran kumpulan penceroboh berkenaan.

Selesai persembahan, bacaan sajak pahlawan diikuti tiupan “Rouse”, sebelum penyampaian sumbangan kepada balu dan keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa Peristiwa Tanduo Lahad Datu.

Juhar bersama Hajiji dan jemputan lain turut meluangkan masa melawat Pameran Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir.Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Kadzim M Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd.Arifin Mohd.Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Timbalan-Timbalan Speaker DUN dan Pembantu- Pembantu Menteri.

Comment