Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, pasukan Maritim Malaysia yang menjalankan operasi Op Pluto Timur/ Op Khas Cegah PATI dan Op Tiris 3.0 mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan.
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas sebanyak 1,000 liter minyak petrol disyaki cuba diseludup keluar berhampiran perairan Pulau Bai, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, pasukan Maritim Malaysia yang menjalankan operasi Op Pluto Timur/ Op Khas Cegah PATI dan Op Tiris 3.0 mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihaknya bertindak menghampiri dan mengarahkan vesel berkenaan berhenti untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, menyedari kehadiran anggota penguatkuasa, suspek telah berpatah balik dan memecut laju vesel yang dinaiki menuju ke perkampungan atas air dalam usaha meloloskan diri.
“Seorang suspek berjaya melarikan diri dan hasil pemeriksaan vesel yang ditinggalkan itu tidak mempunyai nombor pendaftaran.
“Pemeriksaan lanjut ke atas vesel terbabit menemukan 40 tong disyaki berisi 1,000 liter minyak petrol tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.
Menurutnya, vesel termasuk barang kawalan dan enjin sangkut yang dianggarkan berjumlah RM21,000 itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Semua barang berkenaan kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.