Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima makluman dari orang awam mengenai kejadian itu pada jam 1.18 petang.
SEMPORNA: Sebanyak 30 buah rumah atas air di Kampung Simunul, di sini roboh akibat angin kencang dan ombak besar yang berlaku, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima makluman dari orang awam mengenai kejadian itu pada jam 1.18 petang.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi dan telah merobohkan sebanyak dua buah rumah.
“Bagaimanapun, struktur rumah di penempatan itu yang dibina berdekatan dan bersambung menyebabkan 28 lagi rumah penduduk di kampung berkenaan turut roboh.
“Seramai 190 orang warga tempatan dan enam warga asing dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan PPR Bubul Ria, di sini,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian berkenaan.
“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah didirikan di lokasi kejadian bagi menyelaras dan memantau keadaan.
“Sebanyak 33 laporan polis telah dibuat berkaitan rumah yang roboh serta kerugian yang dialami oleh keluarga yang terlibat,” katanya.