Menjelang PRU-14: Kes Rasuah Lim Guan Eng Mula di Bicarakan
21:03 Mar 25, 2018  |  By SabahKini2
Menjelang PRU-14: Kes Rasuah Lim Guan Eng Mula di Bicarakan

Selepas hampir 2 tahun. Kini bermula maraton Kes Rasuah Lim Guan Eng.

GEORGE TOWN: Selepas hampir 2 tahun didakwa di mahkamah, kes rasuah membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, berhubung pembelian sebuah banglo mewah di bawah harga pasaran, akan didengar di Mahkamah Tinggi, esok.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail akan mendengar perbicaraan kes itu yang dijadualkan berlangsung 5 hari, mulai Isnin hingga Jumaat ini.

Timbalan pendakwa raya, Datuk Masri Mohd Daud ketika dihubungi berkata, pihak pendakwaan bersedia mengendalikan kes itu.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang ketika dihubungi berkata, kenyataan pembelaan sudah diserahkan kepada pendakwaan Rabu lepas dan pasukan pembelaan bersedia untuk perbicaraan kes itu.

Pada 30 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah terhadapnya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan keuntungan bagi diri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng dengan meluluskan permohonan bagi menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam di barat daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar, pada 18 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sehingga 5 kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim turut berdepan pertuduhan ke-2, iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta, harga yang beliau tahu tidak sepadan nilai pasaran hartanah berkenaan ketika itu, iaitu RM4.27 juta.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 30 Jun 2016, Lim dan Phang dibawa ke Mahkamah Sesyen untuk berdepan pertuduhan itu kerana kes rasuah akan disebut di Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Lim dan Phang selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Roslan Hamid kerana kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 60 Akta SPRM.

Sebelum perbicaraan bermula, Lim dan Phang memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM yang menghendaki tertuduh mengemukakan kenyataan pembelaan kepada pendakwaan sebelum perbicaraan bermula, bercanggah Perlembagaan.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka, bagaimanapun pada 7 Ogos 2017, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu selepas membenarkan rayuan Lim dan Phang.

Pada 14 Disember 2017, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan memutuskan Seksyen 62 mengikut Perlembagaan dan memerintahkan perbicaraan diteruskan.

Sumber: FMT

Comment