Curi kabel TM 11 meter, warga asing ditahan
17:08 Aug 02, 2024  |  By SabahKini2
Curi kabel TM 11 meter, warga asing ditahan

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan kabal dipercayai dicuri pada 31 Julai lalu.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Jalan Kinabutan Tiku, dekat sini, semalam.

Suspek berusia 31 itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kampung Sungai Buaya, Batu 3, Jalan Apas, jam 11.00 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan kabal dipercayai dicuri pada 31 Julai lalu.

“Seorang juruteknik TM yang melakukan pemeriksaan pencawang TM di Jalan Kinabutan Tiku, mendapati terdapat beberapa kabel hilang dipercayai dicuri oleh individu yang tidak dikenali.

“Pemeriksaan seterusnya mendapati kabel TM sepanjang 11 meter dipotong dan dicuri menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM4,000,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan menahan seorang lelaki warga asing dipercayai terbabit dalam kes curi kabel berkenaan.

“Susulan tangkapan itu, polis turut menahan seorang wanita berusia 27 tahun yang bekerja sebagai kerani bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas sebuah guni berisi wayar tembaga seberat hampie 25 kilogram dan sekeping kertas resit bercetak disyaki resit penjualan tembaga yang dicuri,” katanya.

Katanya lagi, soal siasat mendapati suspek mencuri kabel itu di tempat kejadian kemudian membakar kabel bagi mengambil tembaganya sebelum dijual ke kedai besi buruk.

“Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Comment