Sabah laksana program untuk kesejahterakan ekonomi belia
15:08 Aug 12, 2024  |  By SabahKini2
Sabah laksana program untuk kesejahterakan ekonomi belia

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, agenda pembangunan modal insan khususnya golongan muda dan belia akan terus diberi penekanan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran serta berminda kelas pertama.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada kesejahteraan ekonomi belia, termasuk latihan dan kursus kemahiran untuk memperkasa golongan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, agenda pembangunan modal insan khususnya golongan muda dan belia akan terus diberi penekanan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran serta berminda kelas pertama.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak untuk terus bekerjasama dalam usaha memperkasakan belia Sabah.

"Semua pihak baik kerajaan, sektor swasta dan masyarakat perlu berganding bahu untuk mencipta peluang dan menyediakan sokongan yang diperlukan oleh belia," katanya pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah, Sidang II, Penggal Ke-34, Tahun 2022-2024 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin.

Hajiji berkata, belia adalah generasi masa depan yang akan meneruskan legasi pembangunan negeri, agen perubahan, inovator, dan pemimpin masa hadapan.

"Adalah penting untuk kita memberikan mereka platform yang sesuai untuk berkembang dan memberi sumbangan. 

"Dengan sokongan yang tepat, belia dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi, sosial, dan budaya negeri kita," katanya.

Menurutnya, Sabah telah mengalami pelbagai pencapaian dalam pembangunan belia. 

Katanya, program latihan kemahiran, inisiatif keusahawanan dan aktiviti sosial telah memberikan impak positif kepada ramai belia negeri ini.

Namun katanya, antara cabaran yang wujud termasuklah kekurangan peluang pekerjaan, isu pendidikan dan kekurangan infrastruktur yang menyokong perkembangan belia, yang kini giat ditangani oleh kerajaan.

Hajiji berkata, dalam aspek pendidikan pula, kerajaan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa berbincang untuk menangani apa juga masalah berkaitan pendidikan untuk dilanjutkan kepada Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Kumpulan Yayasan Sabah turut menyediakan tajaan seperti biasiswa, dermasiswa dan pinjaman bagi membolehkan anak-anak Sabah meneruskan pendidikan menengah dan pengajian tinggi mereka.

Katanya, Sabah turut melakar sejarah dengan kejayaan menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS), pendekatan holistik untuk menyelaraskan semua badan-badan penaja di Sabah dan agensi pemberi bantuan pendidikan.

Dalam konteks peluang keusahawanan pula, beliau berkata, antara inisiatif yang
diberikan merangkumi kursus kemahiran melibatkan, pemberian geran dan dana serta program latihan keusahawanan melalui Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) bagi menggalakkan belia menceburi bidang perniagaan untuk menjana pendapatan dan ekonomi.

Hajiji berharap lebih banyak isu berkaitan kepentingan dan keperluan belia di Sabah akan dikupas dalam persidangan itu untuk diangkat pada Majlis Perundingan Belia Negara peringkat kebangsaan agar belia Sabah tidak ketinggalan, sebaliknya seiring dengan belia lain di negara ini.

"Komitmen kita ialah memastikan belia Sabah mencapai kejayaan dan kecemerlangan seiring dengan Hala Tuju SMJ dan Malaysia Madani," tegasnya.

Comment