Lapan mangsa banjir di Labuan dipindahkan ke PPS
15:08 Aug 12, 2024  |  By SabahKini2
Lapan mangsa banjir di Labuan dipindahkan ke PPS

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan menerusi kenyataan media berkata, antara kawasan yang terjejas banjir ialah Kampung Gersik, Kampung Buton dan Kampung Sungai Miri.

LABUAN: Seramai lapan mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, akibat banjir selepas hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan menerusi kenyataan media berkata, antara kawasan yang terjejas banjir ialah Kampung Gersik, Kampung Buton dan Kampung Sungai Miri.

Katanya, penduduk kampung yang terjejas terpaksa dipindahkan dan mengalami kerosakan harta benda selepas ditenggelami air.

“Susulan kejadian itu, PPS Dewan Balai Bomba Rancha-Rancha di sini dibuka bagi penempatan mangsa banjir.

“Ketika ini, dua Keluarga Isi Rumah (KIR) membabitkan lapan mangsa di Kampung Gersik dipindahkan di PPS Rancha-Rancha,” katanya.

Selain itu, katanya terdapat juga kejadian tanah runtuh dan menimpa struktur rumah kediaman penduduk terbabit.

Comment