Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, kapal peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan OP Sejahtera 1/2022 dan OP Tiris 3.0 melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kapal tangki berwarna jingga yang sedang berope
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan berjaya menahan sebuah kapal tangki di kedudukan 8.6 batu nautika utara Pulau Labuan, baru-baru ini.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, kapal peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan OP Sejahtera 1/2022 dan OP Tiris 3.0 melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kapal tangki berwarna jingga yang sedang beroperasi di perairan terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal terbabit dipercayai dikendalikan oleh ketua pegawai kapal berumur 37 tahun dan ketua jurutera berumur 29 tahun masing-masing warganegara Indonesia.
“Kapal tangki yang membawa muatan diesel sebanyak 30,000 liter disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Petroleum 1984 iaitu beroperasi tanpa Petroleum Development Act (PDA) iaitu bukti invois pembelian bahan bakar.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua tujuh kru kapal juga disyaki memiliki dokumen yang meragukan dan ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, ketua pegawai kapal dan ketua jurutera serta kru kapal berserta dokumen ditahan dan diiring masuk ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
Izwanhadi berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kelakuan jenayah di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.