Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pertengahan tahun 1942 ramai askar telah dipindahkan dari kem tawanan yang tidak jauh dari tempat ini.
SANDAKAN: Kerajaan negeri tidak akan melupakan keberanian dan pengorbanan lebih 2,000 tentera sekutu Australia dan Britain, termasuk orang awam yang terkorban di Kem Tawanan Perang Sandakan, di sini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pertengahan tahun 1942 ramai askar telah dipindahkan dari kem tawanan yang tidak jauh dari tempat ini.
Katanya, semua tahanan berkenaan dipilih untuk memindahkan barang dengan berjalan kaki jauh ke dalam hutan Borneo sehingga ke Ranau sejauh lebih 260 Kilometer.
“Dengan bekalan sehingga 25 kilogram setiap seorang, mereka berjalan dalam keadaan hujan, cuaca lembap dan berbahaya.
“Ramai dalam kalangan mereka yang mengalami sakit dan daripada 1,066 orang hanya enam sahaja yang terselamat menceritakan kisah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Peringatan Sandakan di sini, hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.
Menurutnya, setiap tahun ramai dalam kalangan ahli keluarga dan waris yang terkorban hadir ke majlis ini untuk memperingati lebih 2,000 tentera bersekutu Australia dan British berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga turut mengingati orang tempatan yang terkorban ketika membantu tentera bersekutu ini dan mereka juga adalah wira negara.
Memandangkan tahun ini adalah ulang tahun ke-79 berakhirnya Perang Dunia Kedua, Hajiji berkata, semua yang terkorban itu terus hidup dalam sanubari ahli keluarga mereka.
“Pagi ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengenang kembali pengorbanan mereka dan perlunya semua pihak berazam supaya keamanan dapat dikekalkan.
“Sabah akan terus menjadi tempat peringatan lebih 2,000 tentera bersekutu Australia dan British yang terkorban ini,” katanya.
Beliau berkata, hari peringatan ini juga dilihat dapat memupuk hubungan antara Australia, Britain dan Sabah.
Sementara itu, Hajiji memuji inisiatif Majlis Perbandaran Sandakan, Lembaga Pelancongan Sabah, dan Jawatankuasa Penganjur kerana terus berusaha mengadakan hari peringatan ini.
“Terima kasih kepada pihak ‘Office of Australian War Graves’ serta Suruhanjaya Tinggi Australia dan British Malaysia atas sokongan berterusan dalam mengadakan hari peringatan ini,” katanya.