Hajiji ingatkan DO, Presiden Majlis Perbandaran laksana tugas dengan telus dan integriti
17:08 Aug 15, 2024  |  By SabahKini2
Hajiji ingatkan DO, Presiden Majlis Perbandaran laksana tugas dengan telus dan integriti

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, golongan ini juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil rakyat kerajaan dan memaklumkan berkenaan projek pembangunan rakyat.

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan Pegawai Daerah (DO), Penolong Pegawai Daerah (ADO) dan Presiden Majlis Perbandaran agar melaksanakan tugas serta amanah dengan penuh integriti dan ketelusan, khususnya melibatkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat.

Katanya, golongan ini juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil rakyat kerajaan dan memaklumkan berkenaan projek pembangunan rakyat yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan di kawasan masing-masing.

“DO adalah pegawai yang amat penting di daerah dan perlu memberikan kerjasama kepada wakil rakyat kerajaan dan jangan sembunyikan maklumat terutama projek pembangunan kerajaan. 

“Wakil Rakyat mungkin tahu dan maklum tentang projek pembangunan untuk rakyat daripada peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Parlimen, tetapi projek lain daripada kerajaan, mereka tidak tahu.

“Saya juga sudah memanggil Pegawai Kemajuan Negeri dan memintanya untuk memaklumkan kepada wakil rakyat berkenaan projek dan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan yang disalurkan di kawasan dan daerah mereka, ini kerana saya menerima aduan daripada wakil rakyat bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang perkara ini”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali Ke-27 di sini.

Katanya, banyak aduan diterima daripada orang ramai di beberapa daerah berhubung ketidak telusan atau integriti dalam kalangan DO, ADO dan pegawai jabatan kerajaan terutama sekali melibatkan pelaksanaan projek-projek kecil yang amat penting dalam usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan.

“Saya berharap DO dan ADO mesti memberi tumpuan dan penekanan kepada aspek integriti dan ketelusan, apa yang penting ialah kita permudahkan urusan-urusan mengenai pelaksanan projek-projek kecil, kerana rakyat amat memerlukan, sebagai pegawai yang setiap masa berada dibawah, rakyat perhatikan kita.

“Kalau ada kekurangan atau ketirisan dalam pelaksanaan program-program kerajaan di daerah, maka kesan dan implikasinya akan diterima oleh wakil Rakyat dan juga kerajaan kerana rakyat akan kritik wakil rakyat di kawasan terbabit dan kerajaan itu sendiri.

“Kita perlu permudahkan urusan dengan rakyat apabila berjumpa dengan kita, jangan lambat-lambatkan sesuatu kelulusan, bukan sahaja dalam pelaksanaan projek kecil, tetapi pengeluaran lesen-lesen dan sebagainya, kerana ini adalah soal kehidupan rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, keberkesanan kerajaan bergantung kepada pegawai kerajaan khususnya DO dan ADO yang berada di lapangan kerana rakyat akan berjumpa dengan golongan ini untuk pelbagai urusan.

“Jika sesuatu urusan boleh diselesaikan dalam masa yang singkat, jangan pula ambil masa terlalu lama sehingga satu atau dua bulan untuk selesaikan atau luluskan, kerana ini akan memberi impak negatif kepada kerajaan.

“Saya ingin mengingatkan bahawa saya tidak akan berkompromi, jika saya dapati ada unsur-unsur melengah-lengahkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat yang disengajakan, menyusahkan urusan dengan rakyat termasuk mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan dan mempunyai bukti yang nyata, saya akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang tidak melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan dengan baik dan semporna.

“Kerajaan mahukan kejayaan dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), tidak lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya dan banyak lagi isu-isu yang perlu kita selesaikan yang bersangkutan dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perkara ini disampaikan bukan sahaja kepada DO dan ADO tetapi semua pegawai kerajaan, sebagai pelaksana kepada kerajaan yang memerintah. 

“Laksanakan tugas dengan baik, permudahkan urusan, saya berharap mereka bukan sahaja tingkatkan integriti, ketelusan tetapi kecekapan dalam mentadbir di pejabat-pejabat peringkat daerah, kementerian dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai persidangan itu, Hajiji yakin ia akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini kerana skop perbincangan mengarah kepada mencari penyelesaian untuk tadbir urus daerah yang mampan demi kepentingan rakyat.

Comment