Sistem penjagaan Kesihatan negara dapat dipertingkat melalui GUT 2024
17:08 Aug 16, 2024  |  By SabahKini2
Sistem penjagaan Kesihatan negara dapat dipertingkat melalui GUT 2024

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk mengubah penjagaan kesihatan dalam memberi manfaat kepada negara.

KOTA KINABALU: Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia (GUT 2024) menjadi platform terbaik dalam pertukaran idea, perkongsian pengetahuan serta perbincangan dasar yang memberi manfaat kepada sistem penjagaan kesihatan negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk mengubah penjagaan kesihatan dalam memberi manfaat kepada negara.

Beliau bagaimanapun berkata, matlamat terbabit tidak boleh dicapai sekiranya semua pihak bekerja secara berasingan.

"Saya gembira melihat acara perkongsian ilmu seperti ini kerana kerjasama ini merentasi semua pihak berkepentingan kesihatan dan amat penting dalam mencapai matlamat sektor kesihatan Malaysia yang kukuh serta mantap," katanya pada perasmian GUT 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, kemajuan yang dicapai oleh pakar gastroenterologi dalam bidang ini amat mengagumkan sepertimana yang terbukti daripada agenda dan aktiviti yang dilaksana sepanjang bengkel berlangsung.

“Pujian perlu diberikan terhadap dedikasi dalam meningkatkan keberkesanan dan kecekapan gastroenterologi, seperti yang ditunjukkan melalui siri sesi hands-on dan demonstrasi secara langsung di dalam bengkel ini.

"Wacana seperti ini penting untuk memupuk interaksi profesional dan memastikan komuniti ahli gastroenterologi mempunyai akses kepada maklumat perubatan terkini," katanya.

Tambahnya, platform perbincangan seperti ini juga salah satu cara terbaik untuk mengubah kemajuan teknikal menjadi langkah praktikal dalam meningkatkan tahap penghantaran bidang gastroenterologi kepada pesakit.

Katanya, GUT juga menjadi platform khusus untuk pembelajaran dan kemajuan.

“Ia menawarkan peluang unik untuk jururawat endoskopik dan pembantu gastrousus untuk menerima latihan praktikal daripada pakar dalam bidang itu,” katanya.

Ketua Menteri berkata endoskopi gastrousus dijalankan dalam persekitaran yang pelbagai seperti hospital, pejabat doktor dan unit endoskopi pesakit dalam dan luar.

"Dalam prosedur ini, jururawat lazimnya memainkan peranan penting dalam pasukan dan bertanggungjawab untuk menjaga pesakit endoskopik, mereka adalah tulang belakang kepada bantuan terbabit. 

“Oleh itu, latihan dan pembangunan adalah penting untuk memupuk bakat dalam bidang perubatan.

“Inisiatif sebegini bukan sahaja mempamerkan kecemerlangan tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau juga yakin dengan semangat dan kecekapan pihak kesihatan mampu mengharungi cabaran pada masa hadapan.

Hajiji juga berharap simposium tiga hari yang menampilkan penceramah tempatan dan antarabangsa akan mendorong peserta untuk terus mengembangkan dan meneroka semua kemungkinan dalam gastroenterologi.

Comment