Empat Rumah Mesra SMJ di DUN Tanjung Batu siap dan diserahkan
16:08 Aug 21, 2024  |  By SabahKini2
Empat Rumah Mesra SMJ di DUN Tanjung Batu siap dan diserahkan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, pihaknya telah menyerahkan semua rumah berkenaan yang siap tahun ini kepada pemohon sedia ada.

TAWAU: Sebanyak empat buah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk kuota Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemohon tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, pihaknya telah menyerahkan semua rumah berkenaan yang siap tahun ini kepada pemohon sedia ada.

Katanya, sebanyak 19 buah Rumah Mesra SMJ untuk kuota DUN Tanjung Batu sudah diserahkan kepada pemohon yang layak di beberapa lokasi di daerah ini sejak tahun 2022.

“Semua permohonan yang telah diluluskan tahun ini adalah pemohon terawal sejak projek berkenaan dilancarkan pada September 2022 lagi.

“Saya percaya kerajaan negeri akan menyediakan lebih banyak Rumah Mesra SMJ pada masa akan datang memandangkan ekonomi Sabah bertambah kukuh.

“Projek Rumah Mesra SMJ ini sememangnya banyak membantu rakyat terutamanya mereka yang tidak mampu membina rumah sendiri disebabkan kekangan kewangan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata demikian ketika menyampaikan kunci Rumah Mesra SMJ, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, Rumah Mesra SMJ adalah inisiatif kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan membina rumah di tanah sendiri.

“Inisitaif ini juga diihat dapat memberikan banyak manfaat sekali gus membantu rakyat memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata, pihaknya tidak mengehadkan pemohon untuk wajib membina Rumah Mesra SMJ ini di kawasan DUN Tanjung Batu.

“Justeru, sekiranya pemohon mempunyai tapak tanah di luar DUN Tanjung Batu, kita juga masih boleh mempertimbangkannya.

“Saya berharap dengan adanya bantuan yang diberikan ini dapat meringankan sedikit keluarga yang tergolong dalam e-Kasih dan kurang berkemampuan,” katanya.

Terdahulu, empat penerima Rumah Mesra SMJ iaitu Abbas Laaiyah (Tanjung Batu Keramat), Salmah Hasim (Batu 5 Jalan Apas), Abd Rahman (Wakuba, Batu 15) dan Sauna Habib Hassan (Kampung. Pasir Putih).

Turut hadir, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang; Penolong Pegawai Luar Bandar, Nony Tuah dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Batu, Saharuddin Salleh.

Comment