Sabah akan tingkatkan sektor pelancongan kesihatan perubatan
18:08 Aug 22, 2024  |  By SabahKini2
Sabah akan tingkatkan sektor pelancongan kesihatan perubatan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kesihatan perubatan adalah sektor dinamik dan menawarkan pulangan yang baik serta menyumbang kemajuan dalam penjagaan kesihatan.

KOTA KINABALU: Pembukaan 'European Wellness Premier Centre of Excellence' di Alamesra, di sini dilihat dapat meningkatkan sektor pelancongan kesihatan dan perubatan di negeri ini.

Pusat ini dijangka dapat menarik penyelidik dari seluruh dunia untuk berkongsi kepakaran mereka dalam bidang perubatan dan sains.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kesihatan perubatan adalah sektor dinamik dan menawarkan pulangan yang baik serta menyumbang kemajuan dalam penjagaan kesihatan.

“Saya difahamkan kemudahan ini akan menawarkan lebih daripada penjagaan kesihatan konvensional, menggabungkan sains perubatan terkini dengan kuasa penyembuhan alam semula jadi di Sabah.

“Pusat ini dikendalikan oleh saintis sel stem terkenal dunia Prof Datuk Seri Dr Mike Chan dan isterinya, pengasas bersama Prof Datuk Seri Dr Michelle Wong yang berasal dari Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian 'European Wellness Premier Centre of Excellence', di sini hari ini.

Hajiji memuji Dr Mike Chan kerana menepati janjinya membawa perniagaannya ke sini dan menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan kesihatan perubatan bertaraf dunia.

Katanya, kerajaan negeri berterima kasih atas pelaburan ini dan visi kedua-dua mereka telah menghadiahkan sebuah kemudahan yang pasti akan mengubah kehidupan rakyat Sabah.

“Sabah adalah negeri paling strategik di Asia Tenggara dan menjadi teras negara Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) serta rantau ASEAN.

“Saya membayangkan Sabah dapat berkembang menjadi penghubung serantau untuk banyak prospek pelaburan, termasuk pelancongan kesihatan perubatan,” katanya.

Menurutnya, penubuhan pusat ini membuktikan keyakinan pelabur bahawa Sabah adalah tempat yang baik dan kondusif untuk melabur.

“Ia adalah satu lagi usaha penting dan komitmen kerajaan negeri untuk memajukan Sabah seperti yang digariskan dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Dalam era kesihatan dan kesejahteraan telah menjadi keutamaan global, Sabah meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam revolusi ini,” katanya.

Hajiji berkata, perkara paling penting adalah pelaburan ke Sabah dapat memberikan banyak peluang pekerjaan, menarik tenaga profesional dan dapat menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri.

“Rakyat Sabah perlu membuktikan kepada dunia bahawa kecemerlangan kita melangkaui keindahan semula jadi ke sempadan sains.

“Kita bukan sahaja penerima kemajuan, tetapi memacunya dan meletakkan Sabah sebagai kuasa sebenar dalam kesihatan dan inovasi,” katanya.

Comment