Pemerkasaan wanita penting dalam bina masyarakat progresif – Juliah
18:08 Aug 29, 2024  |  By SabahKini2
Pemerkasaan wanita penting dalam bina masyarakat progresif – Juliah

Isteri Ketua Menteri, Datuk Seri Datuk Juliah Salag berkata, pemerkasaan ini bukan saja berkaitan dalam memberi kuasa atau peluang kepada wanita, tetapi juga memberikan kesedaran kepada setiap individu.

KOTA KINABALU: Pemerkasaan wanita menjadi salah satu elemen yang amat penting dalam membina masyarakat yang progresif.

Isteri Ketua Menteri, Datuk Seri Datuk Juliah Salag berkata, pemerkasaan ini bukan saja berkaitan dalam memberi kuasa atau peluang kepada wanita, tetapi juga memberikan kesedaran kepada setiap individu untuk memperkasakan diri sendiri dan juga keluarga.

"Kita perlu menggalakkan kesedaran ini dalam kalangan wanita, lelaki dan generasi muda kerana pemerkasaan sebenar adalah memberikan ruang kepada setiap individu untuk berkembang, mencapai potensi penuh dan menyumbang kepada kemajuan serta pembangunan keluarga, masyarakat, negeri dan negara", katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Pemerkasaan Gender dan Kesihatan Mental Wanita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, dalam dunia yang semakin mencabar ini, isu kesihatan mental yang melibatkan kaum wanita tidak boleh diabaikan kerana mereka cenderung mengalami masalah mental berbanding lelaki.

Menurutnya, isu kesihatan mental melibatkan wanita secara global direkodkan dua kali ganda berbanding lelaki disebabkan wanita sering menghadapi tekanan yang lebih tinggi akibat daripada pelbagai peranan sama ada sebagai isteri, ibu, suri rumah, pekerja dan pemimpin dalam masyarakat.

“Menurut pakar, terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan kecelaruan mental dalam kalangan wanita dan faktor paling utama adalah genetik atau keturunan.

“Masalah ini bagaimanapun masih boleh berlaku disebabkan faktor lain seperti gangguan bahan kimia dalam otak selain faktor tekanan yang menjadi antara penyebab masalah kecelaruan mental yang berpunca daripada diri sendiri, keluarga, pasangan, majikan, rakan serta media sosial,” katanya.

Menurutnya, masalah kesihatan mental boleh ditangani sebaiknya jika ia dicegah lebih awal.

"Penting untuk kita memastikan golongan wanita mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menjaga kesejahteraan mental mereka, termasuklah kemudahan rawatan komprehensif merangkumi aspek fizikal dan psikologi seperti kaunseling,” katanya.

Juliah berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasa golongan wanita di Sabah melalui pelbagai program pembangunan wanita yang mampu menyumbang kepada pembangunan sesebuah negeri dan negara.

“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5.83 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah untuk membiayai pelaksanaan program kepimpinan dan pembangunan wanita di negeri ini.

“Kemudahan pinjaman mikro kredit untuk wanita juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).

"Langkah ini adalah untuk memastikan wanita mendapat peluang dan manfaat yang setara dan bergerak maju ke hadapan bagi mencapai matlamat pemerkasaan gender,” katanya.

Comment