KUALA PENYU: Sebuah kereta mengalami kerosakan selepas dihempap pokok tumbang berhampiran Majlis Daerah, Kuala Penyu, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.35 tengah hari.
Katanya, seramai empat anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang berkenaan.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat sebuah kereta telah dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran majlis daerah.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian itu hanya membabitkan kerosakan kereta sahaja, tiada mangsa dilaporkan terlibat atau cedera.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.50 tengah hari,” katanya.