Anifah sedia pertahan kerusi Kimanis jika terpilih
20:03 Mar 31, 2018  |  By SabahKini2
Anifah sedia pertahan kerusi Kimanis jika terpilih

Sejujurnya, saya tidak tahu dan saya tidak pasti, bukan saya yang membuat keputusan sama ada saya menjadi calon atau tidak," kata Anifah, yang juga merupakan Menteri Luar Negeri.

BEAUFORT: Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau belum pasti sama ada beliau akan dipilih sebagai calon BN bagi kerusi parlimen Kimanis, yang telah dimenanginya sejak tiga penggal yang lalu.

"Sejujurnya, saya tidak tahu dan saya tidak pasti, bukan saya yang membuat keputusan sama ada saya menjadi calon atau tidak," kata Anifah, yang juga merupakan Menteri Luar Negeri.

Bagaimanapun, penyandang tiga penggal itu meminta agar semua ahli dan penyokong BN Kimanis untuk terus memberi sokongan penuh kepada siapa jua yang dipilih oleh Barisan Nasional sebagai calon.

"Saya tahu masih banyak permintaan kalian yang belum berjaya ditunaikan. Adalah sukar untuk merealisasikan segalanya dalam masa satu atau dua hari - kadangkala prosesnya boleh memakan masa bertahun-tahun.

"Bagaimanapun, usaha-usaha tersebut akan tetap diteruskan dan kita yakin tentang apa yang dapat kita capai dalam masa terdekat atau dalam jangka masa panjang," katanya ketika berucap pada majlis Sayang Kimanis di sini, Sabtu.

Anifah, yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, mengekalkan kemenangan di kerusi itu untuk penggal ketiga dalam pilihan raya umum yang lepas, dengan memperoleh sebanyak 13,754 undi, berbanding lawannya dari PKR, Jaafar Ismail, yang mendapat 8,031 undi.

Kedua-dua kawasan pilihan raya DUN di dalam Kimanis juga dimenangi oleh calon UMNO.

DUN Bongawan diwakili oleh Datuk Mohamad Alamin, manakala DUN Membakut oleh Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Comment