Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, teknologi itu telah membantu SEDIA mempercepatkan proses perancangan tanah dan pemantauan alam sekitar selaras dengan objektif pembangunan negeri.
KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) diminta supaya mempromosikan teknologi dron sebagai alat untuk meningkatkan produktiviti dan pemantauan projek pembangunan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, teknologi itu telah membantu SEDIA mempercepatkan proses perancangan tanah dan pemantauan alam sekitar selaras dengan objektif pembangunan negeri.
Katanya, SEDIA turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi Sabah melalui Pelan Tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) 2.0.
“Melalui inisiatif ini, SEDIA menyokong pelaburan dalam sektor pertanian, infrastruktur, dan teknologi hijau seiring dengan visi Sabah untuk mencapai pembangunan mampan dan daya saing global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Hari Terbuka Dron Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.
Hajiji berkata, kerajaan negeri mahu memperluaskan lagi penggunaan teknologi dron yang kini telah digunakan dalam banyak sektor ekonomi, termasuk pertanian, pelancongan, pembinaan, logistik, dan keselamatan.
Beliau yang juga Pengerusi SEDIA berkata, ia juga telah membantu menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian.
“Justeru, saya menyeru kerjasama erat antara kerajaan, industri, penyelidik, dan komuniti untuk menyesuaikan teknologi dron bagi merancakkan ekonomi Sabah.
“Sabah tidak seharusnya ketinggalan dalam penggunaan teknologi, dan kemajuan teknologi juga merupakan salah satu keutamaan utama dalam dasar mesra pelabur negeri,” katanya.