MTPN main peranan penting dalam perlindungan hak pengguna
15:11 Nov 05, 2024  |  By SabahKini2
MTPN main peranan penting dalam perlindungan hak pengguna

Rombongan yang diketuai Yang Dipertua MTPN Kevin Lo berkata, kunjungan adalah bagi memberi penerangan peranan dan fungsi MPTN dalam isu seperti perlindungan hak pengguna.

KOTA KINABALU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah telah melakukan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya baru-baru ini.

Rombongan yang diketuai Yang Dipertua MTPN Kevin Lo berkata, kunjungan adalah bagi memberi penerangan peranan dan fungsi MPTN dalam isu seperti perlindungan hak pengguna. 

"Antara agenda yang dikongsikan adalah mengenai aduan yang diterima oleh MTPN Sabah termasuk isu jalan raya dan air serta beberapa program-program yang sedang dilaksanakan oleh MTPN Sabah termasuk Program Pengguna: Pendidikan Anak Angkat (PAA). 

"PAA merupakan program terbaru MTPN Sabah dalam membantu kerajaan Malaysia memperkasakan sektor pendidikan untuk anak-anak di Sabah selaras dengan amanat Menteri Pendidikan Malaysia iaitu akses pendidikan saksama, membina ekosistem pendidikan digital dan ekspresi aspirasi Malaysia Madani," katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, PAA merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan patut dilaksanakan secara besar-besaran dan berterusan untuk membantu kerajaan memperkasakan sektor pendidikan di Sabah.

Sementara itu, MTPN turut melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kojasa Holdings Berhad, Sim Fui.

Kunjungan berkenaan juga menjelaskan kerjasama dan peranan MTPN Sabah bersama KOJASA yang sudah mempunyai sejarah selama 48 tahun.

Sim Fui berkata, Kojasa kini telah kembali dalam perniagaan runcit dengan identiti baharu yang mantap dan dilengkapi dengan platform digital. 

"Penubuhan Kojasa Mart sebagai salah satu kedai runcit digital di bandar adalah antara inisiatif dalam membantu rakyat agar dapat membeli barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang selaras dengan slogannya 'Beli Banyak, Bayar Sikit'.

Dengan itu, MTPN Sabah mengalu-alukan kehadiran dan penyertaan KOJASA dalam pengiktirafan Sabah Trusted Brand Award (STBA) untuk memberi pendedahan masyarakat terhadap jenama KOJASA.

Dalam pada itu, Sim Fui turut menyokong baik PAA yang diperkenalkan MTPN.

Selain itu, pihak MTPN Sabah akan bekerjasasma dengan KOJASA dalam melaksanakan kempen-kempen kesedaran kepada pengguna dari semasa ke semasa. 

Comment