Kereta terbabas ke dalam parit, pemandu maut
16:12 Dec 02, 2024  |  By SabahKini2
Kereta terbabas ke dalam parit, pemandu maut

Mangsa, 39, beralamat di Kampung Serusup, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

TUARAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Kindu Tenghilang, Kampung Munsung, di sini, pagi tadi.

Mangsa, 39, beralamat di Kampung Serusup, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya, kira-kira jam 11.30 pagi.

"Setiba pasukan bomba di tempat kejadian, didapati sebuah kereta lama telah terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit.

"Dilaporkan terdapat seorang mangsa tersepit dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

"Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah hari," katanya. 

Comment