KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyampaikan geran penyelidikan berjumlah RM6.5 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kursi Bajau Samah UMS.
Ketua Menteri yang juga Pro-Canselor UMS Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan geran berkenaan kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Dr Rosalam Sarbatly di sini pada Selasa.
Penyampaian geran berkenaan diadakan pada Majlis Penyampaian Anugerah Penyelidikan UMS (APUMS) 2024 yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri yang juga Canselor UMS Tun Juhar Mahiruddin.
Sebanyak RM2.5 juta daripada geran itu adalah untuk penyelidikan makmal hidup, manakala RM4 juta lagi diperuntukkan untuk Kursi Bajau Samah UMS.
Pada majlis itu, UMS turut menerima geran penyelidikan berjumlah RM8.61 juta daripada PETRONAS yang disampaikan oleh Naib Presiden Kanan PETRONAS Datuk Bacho Pilong.
Hajiji bersama Juhar turut menyampaikan Anugerah Khas Canselor Tun kepada Prof Justin Sentian iaitu saintis Malaysia pertama yang menjalankan penyelidikan musim sejuk di Antartika.
Acara memotong kek sebagai simbolik meraikan ulang tahun ke-30 UMS turut diadakan pada majlis itu.