Tiga penjenayah ditembak polis di Penampang
15:12 Dec 04, 2024  |  By SabahKini2
Tiga penjenayah ditembak polis di Penampang

Dalam kejadian kira-kira jam 9.13 malam itu, ketiga-tiga suspek lelaki itu dipercayai terbabit dalam beberapa aktiviti jenayah, termasuk kes bunuh.

PENAMPANG: Polis menembak tiga penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah taman perumahan di Bundusan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.13 malam itu, ketiga-tiga suspek lelaki itu dipercayai terbabit dalam beberapa aktiviti jenayah, termasuk kes bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim, berkata bertindak atas maklumat sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menyerbu sebuah rumah di apartment di tingkat satu.

“Ketika serbuan dilakukan, berlaku tembak-menembak di antara ketiga-tiga suspek dengan anggota polis.

“Bagaimanapun, anggota kita berjaya menembak mati ketiga-tiga penjenayah berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan oleh pasukan polis di lokasi kejadian.

“Ketiga-tiga penjenayah ini dipercayai terbabit dalam beberapa kes jenayah, termasuk kes bunuh di Sarawak.

“Lain-lain masih dalam proses siasatan pasukan polis,” katanya.

Sepasukan anggota Unit Forensik IPK Sabah turut berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

Comment