(VIDEO) Parlimen bubar 7 April - PM Najib
11:04 Apr 06, 2018  |  By SabahKini2
(VIDEO) Parlimen bubar 7 April - PM Najib

"..Saya telah pun menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018

PUTRAJAYA, 6 April- Parlimen dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan, yang besar kemungkinan pada akhir bulan ini atau awal Mei.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran itu di Bangunan Perdana Putra hari ini, berbeza dengan kelaziman pengumuman dan pembubaran dibuat pada hari yang sama.



"Saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya telah pun menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018," katanya dalam ucapan khas pembubaran Parlimen ke-13.

Pengumuman pembubaran Parlimen itu disiarkan secara langsung melalui televisyen dan Facebook rasmi Najib dari Pejabat Perdana Menteri pada pukul 12 tengah hari dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Sejumlah 14.9 juta pemilih berdaftar layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Suku Keempat 2017 pada tarikh yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Para pemerhati politik meramalkan pilihan raya itu akan diadakan akhir bulan atau awal bulan depan, sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa pada pertengahan Mei.

-Bernama

Comment