BN Sabah tidak ambil mudah masa depan rakyat - Musa Aman
12:04 Apr 06, 2018  |  By SabahKini2
BN Sabah tidak ambil mudah masa depan rakyat - Musa Aman

Pengundi lebih matang sekarang dan akan menilai prestasi kerajaan (BN) dan pembangkang - sama ada mereka ikhlas dalam berkhidmat kepada rakyat atau hanya mahukan kuasa.

KOTA KINABALU, 5 April- Barisan Nasional (BN), terutama di Sabah, tidak akan ambil mudah mengenai masa depan rakyat, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Malah, beliau yakin rakyat menaruh kepercayaan bahawa BN akan berusaha untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik di negeri ini.

"Pengundi lebih matang sekarang dan akan menilai prestasi kerajaan (BN) dan pembangkang - sama ada mereka ikhlas dalam berkhidmat kepada rakyat atau hanya mahukan kuasa.

"Isu utama untuk dipertimbangkan ialah, adakah BN menunaikan janji-janji selama lebih lima tahun lalu dan menjadikan kehidupan lebih baik untuk rakyat? Rekod prestasi kerajaan saya dalam tempoh 15 tahun yang lalu adalah jelas," kata beliau dalam temubual secara langsung dengan stesen televisyen CNBC Asia baru-baru ini.

Transkrip temubual itu dihantar kepada media oleh Jabatan Ketua Menteri Sabah di sini hari ini.

Musa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN Negeri berkata, kerajaan negeri di bawah BN telah memastikan kestabilan politik, memastikan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat yang lebih baik, keamanan dan keharmonian, dan secara agresif melonjakkan pelaburan dan pertumbuhan untuk mempelbagaikan ekonomi Sabah dan meningkatkan pendapatan, yang membuka jalan bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

"Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), penyebaran maklumat dan berita melalui media digital dan media sosial menjadikannya pentingnya untuk kita memastikan kita berkongsi kisah kejayaan secara dalam talian dan pada masa yang sama membetulkan pembohongan dan berita palsu dengan serta merta.

"Justeru, adalah penting bagi masyarakat luar bandar untuk memahami dan benar-benar merasakan impak pembangunan yang mereka inginkan," kata beliau dan menambah bahawa BN Sabah telah bekerja keras untuk memastikan suara rakyat didengar.

Musa juga berkata ekonomi Sabah menduduki tempat kelima di kalangan semua negeri di Malaysia dan mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat pada kadar 6.1 peratus pada 2015, yang tertinggi di Malaysia.

Sebagai menteri kewangan negeri, beliau juga mengesahkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM59.3 bilion pada 2011 kepada RM73.8 bilion pada 2016, sementara pendapatan telah dipelbagaikan daripada komuniti utama kepada perkhidmatan, yang merangkumi 30 peratus ekonomi negeri, pelancongan (10 peratus) dan perkilangan (lapan peratus).

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa kerajaan BN negeri telah meningkatan KDNK Per Kapita dari RM11,000 kepada RM20,000 antara 2005 hingga 2017, dan juga meningkatkan pendapatan isirumah bulanan dari RM3,745 kepada RM4,110 dalam tempoh 2014 hingga 2016 yang meletakkan Sabah mengatasi negeri-negeri lain.

Kadar golongan miskin tegar yang berpendapatan kurang dari RM800 sebulan, juga menyaksikan penambahbaikan dengan 25 peratus golongan miskin tegar dicatatkan di seluruh negeri pada 2005 berbanding lima peratus tahun lepas.

Pelan Induk Ekonomi Sabah, "Halatuju Sabah" dilancarkan pada 2004 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan, pertanian, pembuatan dan sumber manusia, kini telah membuahkan hasil.

"Kita menubuhkan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) pada 2008 dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) pula dilancarkan tahun yang sama," kata beliau.

Musa berkata sektor infrastruktur, hartanah, minyak dan gas, perkilangan, perladangan dan pelancongan mencatatkan pertumbuhan dengan kadar yang sihat dan kekal sebagai pemacu utama ekonomi Sabah pada masa depan yang akan mengubah landskap Sabah pada tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata dengan sokongan kerajaan Persekutuan selama bertahun-tahun untuk meningkatkan kemudahan asas, terutama di kebanyakan kawasan luar bandar di negeri ini, Sabah, Sabah akan mendapat banyak peluang, terutama dalam memperkasakan ekonominya seperti sektor minyak dan gas melalui Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), kilang baja Amonia dan Urea (Samur) Sabah, Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, serta sektor lain melalui Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, Projek Lebuhraya Pan Borneo dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

-Bernama

Comment