Najib Naikkan BRIM Sehingga RM2000 Dan Anak Penerima BRIM Dapat RM1500 Masuk Universiti
22:04 Apr 07, 2018  |  By SabahKini2
Najib Naikkan BRIM Sehingga RM2000 Dan Anak Penerima BRIM Dapat RM1500 Masuk Universiti

Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, BR1M bulan Jun dan Ogos 2018 berjumlah RM400 digandakan kepada RM800, bermakna jumlah keseluruhan meningkat daripada RM1,200 kepada RM2,000!

KUALA LUMPUR, 7 April -  Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan habuan lebih besar kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika Kerajaan BN kekal berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau menjanjikan habuan itu ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Manifesto BN untuk PRU14 yang bertemakan 'Bersama BN Hebatkan Negaraku'.

Katanya habuan itu dapat dikongsikan berikutan keadaan ekonomi yang semakin baik, kedudukan kewangan yang semakin kukuh dan hasil kutipan cukai GST serta pengurusan kewangan yang cekap.

"Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, BR1M bulan Jun dan Ogos 2018 berjumlah RM400 digandakan kepada RM800, bermakna jumlah keseluruhan meningkat daripada RM1,200 kepada RM2,000!

"Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, BR1M Jun dan Ogos berjumlah RM300 digandakan kepada RM600, bermakna jumlah keseluruhan meningkat daripada RM900 kepada RM1,500!" katanya penuh semangat.

Seterusnya bagi individu bujang yang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang telah terima BR1M RM450 pada bulan Februari, Najib berjanji akan memberi tambahan RM150 lagi pada bulan Jun menjadikan jumlah keseluruhan RM600.

Beliau turut menarik perhatian kira-kira 40,000 penyokong BN yang hadir di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, apabila turut mengumumkan pemberian BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

"Satu lagi kategori baharu BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan, akan menerima BR1M RM700.

"Pemberian ini akan dibuat sebanyak dua kali iaitu RM350, masing-masing pada bulan Jun dan Ogos 2018," umumnya yang disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh dari setiap sudut stadium itu.

Selain itu, manifesto BN pada kali ini turut memperuntukkan bantuan sekali beri atau 'one-off' sebanyak RM1,500 kepada anak-anak penerima BR1M yang berjaya mendaftar di pusat-pusat pengajian tinggi.

-- BERNAMA 

Lebih lanjut Manifesto BN PRU ke 14 sila Klik Barisan Nasional 

6 Comments