Manifesto BN penuhi kehendak rakyat - PM Najib
23:04 Apr 07, 2018  |  By SabahKini2
Manifesto BN penuhi kehendak rakyat - PM Najib

Bagi parti BN, kita tidak anggap ini sebagai suatu yang kita pandang mudah, sebagai satu dokumen yang kita rakamkan secara bertulis semata-mata tapi kita anggap ini sebagai akujanji kita pada rakyat, suatu dokumen yang kita pandang sangat berat dan inilah

KUALA LUMPUR, 7 April - Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menggariskan 364 inisiatif adalah satu dokumen komprehensif dengan agenda sangat jelas yang mampu dilaksanakan, memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan manifesto setebal 220 muka surat itu menjanjikan program-program menghebatkan Malaysia yang akan membawa negara bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara yang mengalami lonjakan tinggi.


"Jika kita imbas sejak pilihan raya umum pada 1955 kita telah membentangkan dan mensajikan manifesto demi manifesto, sehinggalah kini masuk 14 kali.

"Bagi parti BN, kita tidak anggap ini sebagai suatu yang kita pandang mudah, sebagai satu dokumen yang kita rakamkan secara bertulis semata-mata tapi kita anggap ini sebagai akujanji kita pada rakyat, suatu dokumen yang kita pandang sangat berat dan inilah ikrar janji dan sumpah kita bahawa segalanya dalam Manifesto BN. kita akan laksanakan sepenuhnya," katanya ketika berucap melancarkan Manifesto BN di hadapan lautan biru penyokong parti BN di Axiata Arena, Bukit Jalil yang berkapasiti 12,000 orang malam ini.

Selain ribuan penyokong BN lain yang berada di luar stadium, ucapan pelancaran manifesto selama lebih sejam itu turut disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan dan laman Facebook rasmi Najib.

Manifesto PRU14 bertemakan "Bersama BN Hebatkan Negaraku" menawarkan 14 teras iaitu Utama Ibu dan Wanita; Kediaman 1Negaraku; Tiga Juta Kerja; Senyum Sabah dan Sarawak; Pengangkutan Futuristik; Perkasa Digital; Barangan Malaysia; BR1M Lebih Baharu; Dompet Rakyat; Pendidikan Sesuai Masa Depan; Hidup Sihat; Aman 1Negaraku; TN50 dan Penjagaan Kanak-Kanak Universal.

Perdana Menteri berkata manifesto itu menawarkan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, darjat dan warna kulit untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik sehingga ke anak cucu.

"Pilihan raya umum ini bukan Najib Razak lawan ketua pembangkang, bukan BN lawan pembangkang, soal pokoknya adalah penentuan bahawa mana satu pihak yang akan dapat menentukan bahawa setiap rakyat Malaysia akan mengecapi kehidupan lebih baik, bahawa keluarga dan anak-anak serta cucu kita akan mengecapi masa depan yang jauh lebih baik, sebab itu saya ingin tegaskan bahawa BN akan terus memperjuangkan untung nasib setiap rakyat," katanya.

Najib berkata rakyat perlu membuat pilihan yang bijak dengan memilih parti berpengalaman luas, rekod pencapaian yang terbukti cemerlang, diuji dengan pelbagai rintangan serta mempunyai misi dan perancangan jelas berbanding parti yang memberikan formula yang membawa bencana menerusi manifesto mereka.

"Jangan kita menyesal, jangan kita bangun keesokannya dan mendapati Malaysia bukan seperti yang kita kenal. Kita tidak mahu anak cucu keturunan kita kelak akan mencerca dan menghukum kita," katanya.


Najib, yang berada di atas pentas bersama-sama 13 pemimpin parti komponen BN, berikrar dan berjanji akan membangunkan negara dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak supaya tiada satu pun kawasan atau rakyat yang akan ketinggalan.

Beliau turut mengumumkan inisiatif-inisiatif di peringkat nasional dan negeri selain membuat pengumuman istimewa kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah daripada RM1,200 kepada RM2,000; isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 (daripada RM900 kepada RM1,500) serta individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah (daripada RM450 kepada RM600).

Sumber Asal: BERNAMA

 Untuk Manifesto BN sila Klik Barisan Nasional
1 Comment