Manifesto BN Beri Kemajuan Untuk Negeri
11:04 Apr 08, 2018  |  By SabahKini2
Manifesto BN Beri Kemajuan Untuk Negeri

Manifesto BN memberi kepentingan dan penekanan kepada pembangunan negeri-negeri di Malaysia.

KUALA LUMPUR- Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan hari ini turut memberi kepentingan dan penekanan kepada pembangunan negeri-negeri di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN ketika melancarkan Manifesto BN di Axiata Arena Bukit Jalil di sini berjanji masalah air di Selangor diselesaikan jika BN kembali memerintah di negeri Selangor.

"Aku janji untuk negeri Selangor, kalau BN kembali memerintah masalah air di Selangor saya jamin. Pasti BN akan selesaikan," kata Najib pada majlis yang dihadiri kira-kira 40,000 penyokong BN yang berpakaian warna nilakandi sebagai tanda sokongan padu kepada BN.

Bagi Pulau Pinang pula, Najib menjanjikan antara agenda utama BN adalah untuk menyediakan 65,000 buah rumah mampu milik di negeri itu sekiranya BN diberi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang, selain daripada masalah banjir, yang kerajaan BN juga datang bantu dan selesaikan hal ini. Kita ingatkan hanya hal banjir dan terowong yang tak siap-siap, itu saja masalahnya, rupa-rupanya ada lagi iaitu masalah kekurangan rumah mampu milik pula," kata Najib.

Untuk Aku Janji Negeri Kedah, Najib berkata BN akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dan rakyat negeri melalui penubuhan Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam jika ia diberi mandat untuk memerintah lima tahun lagi.

BN berjanji untuk membawa kegembiraan kepada rakyat Sabah dan Sarawak di bawah Aku Janji yang telah menjanjikan untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak sepeti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, kata Najib.

Antara lain, beliau turut berjanji hak penyeliaan kawalan elektrik dan gas akan dikembalikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, selain akan mulakan projek rintis penubuhan sekolah guna Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan di Sabah dan Sarawak.

Bagi Johor, Najib menjanjikan Lebuhraya Plus Malaysia Bhd (Plus) dari Yong Peng ke Johor Bahru daripada empat lorang menjadi enam lorong manakala untuk negeri Melaka pula, BN berjanji akan membina Lebuhraya baharu dari Kuala Linggi-Masjid Tanah-Klebang-Teluk Mas.

Semasa mengumumkan janji bagi negeri Terengganu, sorakan penyokong menjadi semakin kuat apabila Perdana Menteri mengumumkan janji istimewa dalam manifesto iaitu kerajaan BN akan membina Lebuhraya Tepoh-Kuala Nerus ke Kelantan yang merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) secara berperingkat.

Bagi negeri Perak pula, Najib menyifatkan manifesto itu menjanjikan buah tangan istimewa melalui pembinaan lapangan terbang baharu di Sri Iskandar untuk tempoh lima tahun akan datang.

Di bawah Aku Janji Perlis, beliau turut mengumumkan sebuah projek penting iaitu pembangunan Lembangan Sungai Perlis dari Kangar ke Kuala Perlis.

Najib turut berjanji menambah peruntukan untuk menambah bilangan rumah mampu milik, rumah kos rendah dan perumahan untuk generasi kedua Felda bagi Aku Janji negeri Pahang.

Untuk warga Wilayah Persekutuan pula, Najib berkata BN berjanji akan membina lebih banyak projek-projek pembaharuan bandar dan pembangunan semula bandar seperti RUMAWIP dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bagi Aku Janji Kelantan, Najib berkata BN akan mempercepatkan dan menyiapkan Lebuhraya dari Gua Musang ke Kota Bharu jika BN menang kembali pada PRU14 kali ini.

-- BERNAMA 

1 Comment