Hanya Parti Bertanding Dibenar Guna Logo Tak Kira Parti Kerajaan atau Pembangkang- SPR
06:04 Apr 08, 2018  |  By SabahKini2
Hanya Parti Bertanding Dibenar Guna Logo Tak Kira Parti Kerajaan atau Pembangkang- SPR

“Kalau dia (PH) bertanding atas nama PKR, maka (mereka hanya boleh menggunakan logo) PKR lah. Logo lain tak boleh

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan bahawa kenyataannya berkaitan penggunaan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh anggota parti lain yang dilaporkan perlu mendapatkan kebenarannya telah disalah erti.

Menurutnya, apa yang dinyatakan semasa sidang media selepas Simulasi Bilik Gerakan PRU14 itu adalah sekiranya status pendaftaran atau simbol Pakatan Harapan tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) serta lambangnya masih tidak berdaftar dengan SPR, maka ia tidak boleh digunakan dalam PRU14 sebagai bahan kempen.

Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan bertanding atas tiket PKR, hanya boleh menggunakan logo parti itu untuk berkempen sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), bukannya simbol DAP, Amanah dan PPBM sebagai bahan kempen, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, status pendaftaran atau simbol PH yang tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan logonya yang masih tidak berdaftar dengan SPR, tidak boleh digunakan sebagai bahan kempen PRU14.

“Kalau dia (PH) bertanding atas nama PKR, maka (mereka hanya boleh menggunakan logo) PKR lah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPR hari ini.

Hashim berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap parti yang tidak bertanding pada PRU14, tetapi mengibarkan bendera mereka di sesebuah kawasan.

“Apabila kita tahu siapa bertanding, calon mana, parti politik mana bertanding, barulah kita mengambil tindakan ke atas mana-mana parti politik yang tidak bertanding dalam kawasan itu.

“Katalah di Putrajaya, bertanding cuma 3 parti, iaitu parti A, parti B dan parti C. Cuma parti A, B, C sahaja yang kita benarkan pasang bendera dan kain rentang di Putrajaya.

“Tetapi, mana-mana parti yang tidak bertanding dalam kawasan ini, kita tidak benarkan. Tidak kira dia parti kerajaan ke bukan parti kerajaan,” katanya.

Comment