Legasi Tawfiq jadi bekalan jentera 'Biru' pertahan kemenangan di Tawau
12:04 Apr 09, 2018  |  By SabahKini2
Legasi Tawfiq jadi bekalan jentera 'Biru' pertahan kemenangan di Tawau

Rakyat Tawau bersatu padu terus maju di bawah BN

TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, datang Sabah lagi bagi merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2018.

Najib dalam Facebooknya berkata gelombang biru kekal kuat di Tawau.

“ Begitu ramai semalam, tak sempat salam semua. Saya amat hargai sambutan,lihat senyuman terukir di wajah, ada datang dari jauh bawa keluarga dan anak kecil untuk bersama-sama pemimpin BN”.

Datuk Seri Najib Razak menggesa orang ramai untuk menentukan siapa yang boleh memberi mereka faedah yang paling banyak dan yang boleh memenuhi harapan dan aspirasi mereka melalui empat perkara untuk dipertimbangkan semasa membuat undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Najib, yang juga merupakan pengerusi Barisan Nasional, berkata perkara pertama yang perlu dipertimbangkan adalah siapa yang boleh memelihara keharmonian dan hubungan baik antara kaum, agama dan kepercayaan di Malaysia.

Ini, katanya, diikuti oleh aspek kedua, iaitu siapa yang dapat memastikan kestabilan negara. Aspek ketiga dan keempat, katanya, ada siapa yang dapat menjamin keamanan dan juga pembangunan ekonomi.

Nyatakan Penghargaan Buat Tawfiq

Dalam pada itu Datuk Seri Najib Tun Razak turut menghargai jasa bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan atas nilai-nilai baiknya sebagai seorang pemimpin.

Menzahirkan perasaan sedih atas pemergian anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu bulan lalu, perdana menteri menyifatkan allahyarham sebagai pemimpin yang banyak menabur jasa kepada rakyat khususnya di Tawau.

Beliau berkata kehilangan Tawfiq sebagai pemimpin dan sahabat amat dirasai.

"Kita akan kenang segala jasa beliau dan mudah-mudahan bacaan al-Fatihah untuknya, segala pahala itu Allah akan mencucuri ke atas roh allahyarham," katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau Ketujuh (FKAT) 2018 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau malam tadi.

Turut hadir, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Terdahulu, Musa ketika berucap, berkata penganjuran FKAT adalah atas idea Allahyarham yang datang berjumpa dengannya bagi mengemukakan rancangan tersebut.

"Tawfiq berkata Tawau belum ada pesta festival lagi dan festival ini (jika dilaksanakan) boleh memacu ekonomi Tawau seperti FKAT.

Musa berkata hasrat murni Tawfiq sebagai seorang pemimpin untuk penganjuran FKAT itu juga kerana mahu mengeratkan silaturahim sesama rakyat.

"Allahyarham ingin melihat penduduk Tawau bersatu padu memajukan Tawau supaya satu dunia tahu Tawau ini di mana dan ekoran itu saya meluluskan permohonan beliau," katanya sambil mengajak semua hadirin membacakan al-Fatihah untuk Tawfiq.

Musa terus menzahirkan penghargaan kepada Tawfiq sebagai tokoh pemimpin berjiwa besar, berdedikasi, bertanggungjawab serta amanah dengan tugas didokong sehingga akhir hayatnya berkhidmat untuk rakyat.

Tawfiq meninggal dunia pada 14 Mac lalu akibat komplikasi usus di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada usia 56 tahun.

 

Comment