Musa Dedah Kisah Sebenar Shafie Kepada Rakyat Semporna
14:04 Apr 09, 2018  |  By SabahKini2
Musa Dedah Kisah Sebenar Shafie Kepada Rakyat Semporna

Sebelum itu pada 2003, pertandingan ahli Majlis Tertinggi (MT) (UMNO), kami sama-sama bertanding, saya dapat nombor empat dengan 1,837 undi, Shafie dapat nombor lapan iaitu 1,672 undi, saya boleh bertanding naib presiden (2009), (tetapi) saya beri laluan.

SEMPORNA: Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini membuka cerita kepada rakyat Semporna bagi menjawab tuduhan dilemparkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada beliau.

Ini termasuk dakwaan sabotaj hingga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu dikenakan tindakan tatatertib ketika dalam UMNO.

Sambil menafikan tuduhan itu, Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, menegaskan sepanjang berkecimpung dalam politik beliau tidak pernah menganiaya rakan mahupun pemimpin, apatah lagi mensabotaj Mohd Shafie yang datang dari negeri sama.

Musa menjelaskan, beliaulah orang yang memberi laluan serta membantu Mohd Shafie mendapat sokongan semua ketua UMNO bahagian di Sabah ketika penyandang Ahli Parlimen Semporna itu mahu bertanding Naib Presiden UMNO pada 2009.

Pada pemilihan itu, katanya, beliau juga diminta oleh ahli UMNO di Sabah untuk bertanding naib presiden, namun sebaliknya memberi laluan kepada Mohd Shafie kerana tidak mahu dua calon dari Sabah merebut jawatan sama.

"Sebelum itu pada 2003, pertandingan ahli Majlis Tertinggi (MT) (UMNO), kami sama-sama bertanding, saya dapat nombor empat dengan 1,837 undi, Shafie dapat nombor lapan iaitu 1,672 undi, saya boleh bertanding naib presiden (2009), (tetapi) saya beri laluan.

"Dia (kemudian) cakap tolong (kempen), saya bilang boleh dan saya panggil semua ketua bahagian seluruh Sabah sarapan bersama Shafie, saya minta semua sokong sebab dia calon tunggal (naib presiden) dari Sabah.

"(Selepas itu) dia menang tidak pun ucap terima kasih pada saya, bahkan (sekarang) dia kata Musa Aman sabotaj. Bila dia menang (naib presiden UMNO), Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) lantik dia menteri kanan yang belum pernah disandang oleh pemimpin Sabah iaitu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di hadapan lebih 10,000 warga Semporna sempena pelancaran Hab Pelancongan Antarabangsa Semporna yang disempurnakan Perdana Menteri di Dataran Regatta Lepa di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marahaban dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang merangkap Pemangku Ketua UMNO Semporna, Datuk Nasir Sakaran.

Bercerita lanjut, Musa berkata, selepas dilantik sebagai menteri, Mohd Shafie tidak pernah melakukan kunjungan terhadap beliau sebagai Ketua Menteri setiap kali pulang ke negeri ini, tidak seperti menteri Persekutuan dari Sabah yang lain.

"Saya anggap dia sebagai adik dan kawan... kita sama-sama orang Sabah, apa salahnya datang (jumpa dan beritahu) Musa ini peruntukan (kementerian) saya, kita bincang apa yang boleh kita bangunkan Sabah, ini yang saya harapkan, tetapi tak kunjung tiba.

"Kalau dia mahu saya datang Kuala Lumpur jumpa dia di sana, saya datang, tetapi tak diundang... sedangkan pintu saya sentiasa terbuka," katanya.

Musa berkata, lebih mengecewakan apabila Mohd Shafie menentang serta memburuk-burukkan Najib yang sebelum itu mengangkat beliau sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, menteri dan menteri kanan Persekutuan.

"Kita tahu semua tahu jasa Datuk Seri Najib kepada Shafie, ada orang anggap mereka adik-beradik. Ketika itu Perdana Menteri lebih sayang Shafie daripada saya, tak mengapa, saya tak marah sedikitpun kerana saya tahu Shafie timbalan menteri beliau (Najib, di Kementerian Pertahanan).

"Bagaimanapun, sanggup (Mohd Shafie) burukkan (Najib), sampai hati kata orang Sabah," katanya sambil melahirkan keyakinan rakyat Semporna akan terus memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

3 Comments